-

SDGs AIDILADHA 2026 MALAYSIA–INDONESIA: INTERNATIONAL MOBILIZATION EDUCATIONAL ENHANCING OPPORTUNITY PARTNERSHIP SYNERGY, CSR & IBADAH QURBAN

KOLEJ KOMUNITI KOTA TINGGI
15 June 2026
Aktiviti Pelajar

JORONG DAHLIA, LUBUK JANTAN, KECAMATAN LINTAU BUO UTARA, TANAH DATAR, INDONESIA | 26 MEI 2026 – Semangat ukhuwah serumpun Malaysia–Indonesia terus diperkukuhkan menerusi Program Serumpun Sosio-Budaya Malaysia–Indonesia Aidiladha 2026 yang menghimpunkan delegasi dari kedua-dua negara dalam sebuah program mobiliti antarabangsa berimpak tinggi. Program yang berlangsung dari 26 hingga 31 Mei 2026 ini menjadi platform strategik dalam memperkasa pembangunan komuniti, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta memperkukuh agenda pengantarabangsaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Program ini dianjurkan oleh Kolej Komuniti Tanjung Piai (KKTP) dengan kerjasama Universitas Negeri Padang (UNP), Koperasi Kolej Komuniti Tanjung Piai, Kantor Walani Nagari Lubuk Jantan, Masjid Nurul Huda Kelumpang, Pejabat Kadi Daerah Pontian, Yayasan Perbandaran Pontian, Fitness Network Centre, Persatuan Alumni PMS serta beberapa institusi pendidikan lain termasuk Politeknik Muadzam Shah, Kolej Komuniti Segamat, Kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Komuniti Kota Tinggi, Politeknik Ibrahim Sultan dan Politeknik Metro Kuantan. Program ini diketuai oleh En. Mohd Jeffry bin Zainuddin selaku Ketua Delegasi dan disertai seramai 19 orang pelajar bersama pensyarah pengiring serta jawatankuasa pelaksana.

Sepanjang program berlangsung, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti berimpak tinggi merangkumi Program Korban Perdana, bakti siswa, program kampung angkat, lawatan akademik serta malam kebudayaan yang menjadi medium pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman antara delegasi Malaysia dan Indonesia. Menurut Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) KKTP merangkap Pengarah Program Pelajar, Seri Ainufitri binti Abdul Salleh, program mobiliti antarabangsa ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk keluar daripada zon selesa dan menimba pengalaman baharu bersama komuniti antarabangsa. Beliau berkata, penglibatan dalam aktiviti bakti siswa, kampung angkat dan ibadah korban bukan sahaja mengeratkan hubungan serumpun Malaysia–Indonesia, malah membentuk jati diri mahasiswa yang lebih prihatin, berdaya saing dan berfikiran global.

Sementara itu, Bapak Jorong Dahlia turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran delegasi Malaysia dan memaklumkan bahawa komuniti setempat amat mengalu-alukan program seumpama ini untuk diteruskan pada masa hadapan. Menurut beliau, pelaksanaan program tersebut telah memberikan pelbagai impak positif kepada komuniti setempat selain mengukuhkan hubungan persahabatan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia.

Program ini juga selari dengan aspirasi iltizam 13 POLYCC dalam memperkasa pengantarabangsaan melalui pengukuhan mobiliti pelajar, jaringan strategik global dan pembangunan graduan berdaya saing serta berfikiran global. Selain menjadi medium pertukaran budaya dan pengalaman antarabangsa, program ini turut menyokong beberapa matlamat utama Sustainable Development Goals (SDG) melalui pendekatan TVET dalam memperkasa pembangunan komuniti, pendidikan serta hubungan strategik antara institusi dan masyarakat antarabangsa.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti