Pelajar KKHS bantu Tat Bengkulu tembusi pasaran digital melalui Program IDCT 2.0

NORHAFIZAH BINTI ABD. HAZIS
07 June 2026
Aktiviti Pelajar

RAWANG, SELANGOR – Warisan tradisi tempatan kini memasuki fasa baharu apabila produk kuih tradisional Tat Bengkulu dari Kampung Sungai Choh berjaya menembusi pasaran digital hasil pelaksanaan Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 anjuran Kolej Komuniti Hulu Selangor (KKHS).

Program yang berlangsung dari Oktober 2025 hingga Jun 2026 itu menyaksikan penglibatan lima orang pelajar KKHS yang bertindak sebagai pemudah cara utama dalam membantu usahawan komuniti setempat memperkukuh aspek pemasaran digital, penjenamaan produk serta pembangunan kandungan kreatif.

Sepanjang pelaksanaan program, pelbagai inisiatif telah dijalankan termasuk kursus pemasaran digital asas kepada usahawan kecil, latihan fotografi produk menggunakan telefon pintar, penghasilan kandungan video pendek serta bimbingan penggunaan platform media sosial seperti Instagram, Facebook dan WhatsApp Business bagi tujuan promosi serta pengurusan tempahan.

Selain itu, pelajar turut membantu penambahbaikan imej produk melalui reka bentuk pembungkusan baharu yang lebih moden namun masih mengekalkan identiti warisan tempatan, sekali gus meningkatkan daya tarikan serta nilai komersial produk Tat Bengkulu.

Sebagai sebahagian pengisian utama program, beberapa kursus berjaya dilaksanakan dengan penyertaan amat memberangsangkan daripada komuniti Kampung Sungai Choh.

Pada 28 Februari 2026, telah berlangsung Kursus Digital Marketing for Small Businesses yang memberi pendedahan kepada usahawan kecil mengenai strategi pemasaran digital. Melalui kursus ini, peserta didedahkan dengan penggunaan media sosial dan pelbagai platform digital bagi membantu meningkatkan jualan serta memperluaskan capaian pasaran produk mereka.

Seterusnya pada 7 Mac 2026, diadakan Kursus Future Content: Strategi Penghasilan Gambar dan Video Berasaskan AI & Pemasaran Digital dengan kerjasama FAMA melalui platform Agrobazaar Online. Kursus ini memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan pemasaran serta membuka ruang kepada komuniti untuk memasarkan produk tempatan melalui platform digital yang lebih luas dan tersusun.

Manakala pada 14 Mac 2026, telah dilaksanakan Kursus Penghasilan Video dengan AI yang membimbing peserta secara praktikal menghasilkan video promosi produk serta potensi pelancongan kampung menggunakan teknologi AI. Kemahiran ini dilihat amat penting dalam era digital kerana kandungan visual yang kreatif mampu meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap sesuatu produk.

Pada hari yang sama, turut diadakan program kerjasama komuniti melalui penghasilan dan agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat, yang mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan komuniti Kampung Sungai Choh.

Program ini mencapai kemuncaknya menerusi penganjuran Mini Showcase bersempena KL Jazz in the Park anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berjaya menarik kehadiran ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Penyertaan tersebut bukan sahaja menjadi platform promosi berimpak tinggi, malah mencatatkan jualan sebanyak RM3,000 dalam tempoh satu hari, sekali gus membuktikan potensi besar produk warisan tempatan apabila diperkasa melalui pendekatan digital dan pemasaran strategik.

Secara keseluruhan, jualan Tat Bengkulu menunjukkan peningkatan ketara apabila mencatat RM16,715 sepanjang program, berbanding RM5,120 sebelum pelaksanaan, iaitu peningkatan sebanyak 226.7 peratus.

Kejayaan ini turut disokong oleh pembangunan akaun media sosial perniagaan yang aktif, penghasilan kandungan digital secara konsisten serta strategi pemasaran berasaskan penceritaan warisan (heritage storytelling) yang berjaya menarik minat pengguna di luar kawasan setempat.

Usahawan Tat Bengkulu, Kak Rosmah, menyifatkan program ini sebagai titik perubahan besar dalam perkembangan perniagaannya apabila produk tradisi keluarga itu kini mula dikenali lebih meluas.

“Sebelum ini saya hanya jual di kampung sahaja. Selepas ada bantuan pelajar KKHS, pembungkusan lebih cantik dan pemasaran digital dibuat, ramai pelanggan dari luar mula hubungi saya,” katanya.

KKHS turut menegaskan bahawa kejayaan program ini membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman sebenar yang memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti secara langsung.

Komitmen tidak terhenti di sini apabila KKHS merancang untuk terus memperkukuh kerjasama dengan komuniti Kampung Sungai Choh melalui pelbagai program susulan seperti kursus keusahawanan digital komuniti, pembangunan produk pelancongan komuniti, bengkel penjenamaan dan pemasaran produk tempatan serta latihan kemahiran digital untuk belia dan usahawan kampung.

Usaha berterusan ini diharap bukan sahaja meningkatkan kemahiran komuniti, malah menjadikan Kampung Sungai Choh sebagai model kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan komuniti luar bandar dalam memperkasa ekonomi digital yang mampan dan inklusif.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti