
Johor Bahru, 22 Jun 2026 – Pendaftaran pelajar baharu Sesi I 2026/2027 di Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) bukan sekadar detik permulaan pengajian, malah turut menyimpan kisah istimewa sebuah ikatan adik-beradik.
Kelarrica binti Eruwan, alumni PMJB, hadir menemani adiknya, Eric bin Eruwan yang datang dari Sabah untuk memulakan perjalanan baharu sebagai pelajar Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan. Walaupun tidak dapat diiringi oleh ibu bapa pada hari pendaftaran, kehadiran seorang kakak yang pernah melalui pengalaman sebagai warga PMJB menjadi sumber kekuatan dan semangat buat Eric.
Jauh di Sabah, ibu bapa mereka mengirimkan pesanan agar Eric sentiasa belajar bersungguh-sungguh dan menjaga adab sepanjang menuntut ilmu di perantauan.
Sebagai seorang kakak dan juga bekas pelajar PMJB, Kelarrica turut menitipkan kata-kata semangat agar Eric sentiasa pandai menjaga diri, berani mencuba perkara baharu, serta mengambil setiap peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman sepanjang kehidupan sebagai seorang mahasiswa.
Dari seorang kakak yang pernah melakar kenangan di PMJB, kini giliran sang adik pula meneruskan perjalanan yang sama. Semoga langkah pertama ini menjadi permulaan kepada kejayaan yang lebih gemilang.
Selamat datang ke keluarga besar PMJB, Eric!
