TVET jadi pilihan utama, pendekatan ‘hands-on’ POLYCC jamin kebolehpasaran graduan

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
23 June 2026
Aktiviti Pelajar

KUCHING, 22 Jun 2026 – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus mendapat sambutan dalam kalangan anak Sarawak kerana terbukti melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri semasa.

Pengarah Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Zamzam Mohd. Walid berkata, semangat anak Sarawak dalam mengejar pendidikan tinggi amat membanggakan dan wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Pemantauan Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu Politeknik dan Kolej Komuniti Sesi I 2026/2027 di Kolej Komuniti Kuching sambil berkongsi kisah Juliana Shima Jamat, 18, dari Rumah Panjang Long Uwa, Sungai Asap, Bakun yang sanggup menempuh perjalanan jauh seorang diri tanpa ditemani ibubapa untuk mendaftar dalam Program Sijil Teknologi Senibina di Kolej Komuniti Kuching (KKKG).

Menurut beliau, TVET yang dikenali melalui jenama POLYCC menawarkan akses pendidikan luas menerusi 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara. Di Sarawak, peluang pendidikan disediakan melalui Politeknik Kuching Sarawak, Mukah, Metro Betong serta beberapa kolej komuniti di seluruh negeri termasuk Kolej Komuniti Kuching.

Katanya, keunikan TVET terletak pada pendekatan pembelajaran berasaskan latihan praktikal atau ‘hands-on’ yang membolehkan pelajar menguasai kemahiran sebenar industri. Malah, terdapat syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada pelajar sebelum tamat pengajian.

Selain peluang kerjaya, TVET turut menyediakan laluan akademik yang jelas melalui pemindahan kredit daripada sijil ke diploma. Program POLYCC juga diiktiraf badan profesional dan akreditasi seperti MQA, MBOT dan BEM.

Terdahulu, Pengarah Kolej Komuniti Kuching (KKKG), Sumbang Mandaw, berkata keyakinan masyarakat terhadap pendidikan berasaskan kemahiran terus meningkat, dibuktikan menerusi kebolehpasaran graduan KKKG yang memberangsangkan. Menurutnya, sebahagian besar pelajar menerima tawaran pekerjaan sejurus tamat menjalani Latihan Industri, manakala selebihnya memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma.

KKKG turut memperkukuh pendidikan inklusif menerusi Program Sijil Khas Jahitan Kreatif bagi pelajar berkeperluan khas khususnya golongan masalah pembelajaran, untuk memperoleh kemahiran dan meningkatkan potensi diri.

Beliau turut mengingatkan pelajar baharu supaya menghargai pengorbanan ibu bapa dan memanfaatkan tempoh pengajian dengan aktif dalam akademik, kokurikulum, kesukarelawanan dan pembangunan sahsiah.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti