
SEBERANG PERAI, 21 Jun – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi pilihan utama generasi muda apabila Politeknik Seberang Perai (PSP) merekodkan seramai 1,457 pelajar baharu yang melapor diri bagi Sesi I 2026/2027, sekali gus menjadi antara jumlah pendaftaran tertinggi dalam sejarah institusi itu.
Pendaftaran yang berlangsung selama dua hari bermula 20 hingga 21 Jun itu membuktikan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan Generasi Z terhadap TVET sebagai laluan pendidikan yang mampu menawarkan prospek kerjaya yang luas, kemahiran yang relevan dengan industri serta peluang masa depan yang lebih cerah.
Majlis Perasmian Minggu Transformasi Siswa (MTS) telah disempurnakan oleh Dr. Shahiza binti Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Dalam ucapannya, beliau menyatakan keyakinan bahawa PSP akan terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kemahiran, malah mempunyai jati diri yang kukuh serta mampu menjadi peneraju perubahan pada masa hadapan.
“Saya yakin dan percaya bahawa daripada kampus ini akan lahir generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berjiwa besar. Generasi yang bukan sekadar mencari pekerjaan, tetapi mencipta peluang pekerjaan. Generasi yang bukan sekadar mengikuti perubahan, tetapi memimpin perubahan,” katanya.
Pendaftaran kali ini turut menampilkan kisah menyentuh hati apabila PSP mengambil langkah proaktif membantu seorang pelajar baharu Diploma Kewangan Islam, Nur Juliyani Binti Rustam dari Kota Belud, Sabah.
Pelajar tersebut hadir bersendirian ke Pulau Pinang untuk melanjutkan pengajian dan memaklumkan bahawa beliau perlu bermalam di lapangan terbang sebelum hari pendaftaran. Prihatin terhadap keselamatan dan kebajikan pelajar, pihak pengurusan PSP telah mengatur pengangkutan bagi menjemput beliau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan membawanya terus ke kolej kediaman.
Nur Juliyani merupakan anak kepada seorang petani jagung dan suri rumah yang bertekad meneruskan pengajian walaupun berdepan kekangan kewangan keluarga. Tindakan PSP itu mencerminkan komitmen institusi dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.
Dalam perkembangan sama, PSP turut mencipta sejarah apabila menerima seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), Ashraff Eidris bin Amir Hamidi dari Putrajaya, yang mendaftar dalam program Diploma Teknologi Maklumat (DIT).
Kehadiran beliau membuktikan bahawa peluang pendidikan TVET di PSP terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keupayaan, selaras dengan aspirasi pendidikan inklusif negara.
Sementara itu, Pengarah PSP, Tuan Haji Mohd Ruzi bin Hamzah berkata peningkatan jumlah kemasukan pelajar membuktikan bahawa TVET semakin mendapat tempat dalam kalangan Generasi Z yang melihat pendidikan berasaskan kemahiran sebagai pilihan terbaik untuk membina kerjaya masa depan.
“Belajarlah dengan penuh kesungguhan, berusahalah dengan penuh disiplin dan berjuanglah dengan penuh keazaman. Pulanglah nanti sebagai graduan yang membanggakan keluarga, masyarakat, agama dan negara.
“Ingatlah, kejayaan bukan milik mereka yang paling hebat semata-mata, tetapi milik mereka yang tidak pernah berhenti berusaha,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PSP yang telah bertungkus-lumus memastikan proses pendaftaran berjalan lancar serta memberikan pengalaman terbaik kepada pelajar baharu dan ibu bapa.
Pencapaian pendaftaran seramai 1,457 pelajar baharu ini mengukuhkan lagi peranan PSP sebagai institusi TVET pilihan yang terus mendapat kepercayaan masyarakat dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, kompeten dan bersedia memenuhi keperluan industri negara.

