
KOTA KINABALU, 24 JUN 2026 – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) melakar sejarah kejayaan berimpak tinggi apabila merekodkan lonjakan kemasukan pelajar baharu sebanyak 128 peratus, sekali gus melepasi sasaran norma ambilan asal institusi bagi Sesi I 2026/2027.
Pengarahnya, Encik Md Nor Abdul Halim mendedahkan bahawa daripada unjuran awal yang hanya menyasarkan 805 orang pelajar, seramai 1,032 pelajar baharu telah selamat mendaftar secara rasmi di institusi berkenaan.
Pecahan pendaftaran tersebut menyaksikan dominasi seramai 689 orang pelajar lelaki manakala 343 orang lagi merupakan pelajar Perempuan.
Menurut Md Nor, angka luar biasa itu merupakan isyarat jelas terhadap keyakinan tinggi masyarakat kepada keupayaan sistem pendidikan, Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh PKK.
“Anda semua bukan sahaja terpilih, malah anda adalah sebahagian daripada sejarah kejayaan berimpak tinggi PKK pada sesi ini.”
“Melangkah masuk ke gerbang menara gading, kehidupan anda akan berubah 180 darjah untuk berhadapan dengan cabaran hidup mandiri serta mengadaptasi budaya pembelajaran TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat pada Majlis Perasmian Penutupan Minggu Transformasi Siswa (MTS) Sesi I 2026/2027 di Dewan Rafflesia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Md Nor turut menitipkan tiga prinsip keramat yang perlu dipegang oleh para pelajar sepanjang berada di kampus iaitu memperkasakan akademik dan kemahiran TVET, menjaga hubungan silaturrahim, serta menggunakan saluran komunikasi yang betul.
Beliau turut menolak dakyah luar yang memperlekehkan kepentingan akademik dan menegaskan bahawa bidang TVET merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Jangan sekadar belajar untuk lulus atas kertas, tetapi gilaplah kemahiran teknikal, komunikasi, dan teknologi digital agar anda menjadi graduan yang ready-to-work. Di PKK, akademik dan kemahiran adalah penentu masa depan anda,” tegas beliau.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan para mahasiswa agar sentiasa berpaksikan harapan menggunung ibu bapa, menghormati pensyarah, serta memelihara nama baik institusi.
Mengenai aspek kebajikan pelajar di asrama, Md Nor memberi jaminan bahawa pihak pengurusan sentiasa meletakkan perkara itu sebagai keutamaan. Sebarang aduan atau maklum balas boleh disalurkan secara profesional melalui sistem e-maklum balas atau melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar.
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar para pelajar baharu menggunakan ekosistem PKK secara optimum untuk meluaskan potensi diri, meneroka bidang inovasi, aktif berpersatuan, dan seterusnya mengharumkan nama PKK di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

