




Kontinjen Robotik Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) melakar sejarah selepas mendominasi Kejohanan 19th Malaysia FIRA Cup 2026 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu (PKB) baru-baru ini.
Kenyataan media POLIMAS memaklumkan selain membawa pulang satu pingat emas, satu perak, dan tiga gangsa, POLIMAS turut dinobatkan sebagai MYBOT Master (All Challenge Champion) sekali gus menjulang gelaran Juara Keseluruhan Kategori MyBOT.
Pencapaian luar biasa ini membuktikan institusi TVET negara kini berada pada kelas tersendiri dalam memacu teknologi inovatif dan robotik.
Bqgi kategori MyBOT Soccer 3 vs 3, Pasukan A yang mendapat bimbingan penuh Sofwan Ramli berjaya menumbangkan pihak lawan dengan cemerlang.
DUA PELAJAR SEKOLAH
Gandingan mantap antara penuntut POLIMAS, Amir Al Faruq Ami Ridzuan, bersama dua pelajar sekolah iaitu rakan strategik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, Uwais Alkhalis Muhammad Khairi dan Muhammad Adzfar Sofwan, akhirnya membolehkan pingat emas menjadi milik mereka.
Amir Al Faruq yang bersyukur dengan kemenangan ini menyifatkan keserasian bersama pelajar sekolah sebagai kunci utama kemenangan mereka.
“Walaupun kami datang dari institusi berbeza, namun gandingan bersama dengan adik-adik dari SMK Jitra menambahkan lagi kemantapan pasukan ini,” kata beliau.
Detik penuh gemilang itu turut diraikan oleh Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS Dr. Mhd Azmin Mat Seman, yang hadir memberikan sokongan moral.
TAMBAH LAGI PINGAT
Selain itu tambahan lagi pingat dalam kategori yang sama ditambah menerusi Pasukan B bimbingan Zulkefli Iberahim.
Gandingan Muhammad Aidil Irwan (POLIMAS) bersama Muhammad Adli Huzairi dan Muhammad Fayyaad Mohd Firdaus dari SMK Bandar Darulaman, Jitra berjaya membawa pulang pingat gangsa.
Selain mendominasi perlawanan bola sepak robot, skuad bimbingan Mohd Lutfi Mohd Khidir dan Mohd Zul Fahmi Mohd Zawawi turut mendominasi kategori AiR-Drone.
MENDAPAT PINGAT PERAK
Pasukan ini mendapat pingat Perak menerusi Cabaran “Autonomous Race” dan dua pingat gangsa pada Cabaran “Emergency Delivery and Tower Inspection” serta “Lock and Drop”.
Barisan pelajar terlibat terdiri dari Muhammad Nur Haikal Mohd Nor Shahwal, Muhammad Yassar Badlishah, Nurul Farhanim Najwa Najmuddin, Dharini Rajan, dan Nur Imanina Mohd Azhar.
Salah seorang wakil pasukan AiR-Drone, Muhammad Yassar turut berkongsi getir yang dihadapi sepanjang pertandingan di mana tersebut.
DALAM KATEGORI DRON
“Persaingan dalam kategori dron sangat sengit, terutamanya semasa cabaran “Autonomous Race”
yang memerlukan ketepatan teknikal yang sangat tinggi,” kata beliau.
Jelas beliau walaupun berdepan dengan masalah teknikal pada saat-saat akhir, berkat bimbingan pensyarah dan ketenangan pasukan, mereka berjaya membawa pulang perak dan gangsa.
“Ini membuktikan pelajar TVET bukan sahaja tahu teori, malah sangat pantas menyelesaikan masalah di lapangan,” jelas beliau lagi.
MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN
Terdahulu, majlis perasmian kejohanan berprestij ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim.
Pengurus Pasukan, Muhammad Khairi Saad, menyifatkan kejayaan ini sebagai buah hasil usaha berterusan, disiplin tinggi, serta kerja berpasukan yang sangat utuh.
“Kejayaan ini adalah komitmen semua pihak. Kami berharap impak kemenangan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kecemerlangan POLIMAS dalam bidang robotik serta inovasi pada masa hadapan,” kata beliau. – JM
sumber jendelamadani.net