




Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mencatatkan sejarah tersendiri apabila menerima lonjakan luar biasa pendaftaran pelajar baharu bagi program Asasi Kejuruteraan Sesi 1-2026/2027, sekali gus membuktikan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu terus menjadi buruan.
Kehadiran seramai 122 pelajar berbanding norma kemasukan asal yang ditetapkan iaitu hanya 100 orang, mencerminkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap kebolehpasaran graduanyang dilahirkan di sini.
Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya berkata, peningkatan angka tersebut bukan sahaja satu pencapaian membanggakan, malah menjadi penanda aras baharu terhadap komitmen institusi dalam melahirkan modal insan berkualiti.
KEYAKINAN TINGGI MASYARAKAT
“Lonjakan angka pendaftaran ini mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat terhadap kualiti kebolehpasaran graduan kami,” kata beliau.
Beliau berkata POLIMAS komited menyediakan ekosistem pembelajaran terbaik demi melahirkan teknokrat masa hadapan semasa menyampaikan Sesi Taklimat Waris di Jitra hari ini.
Sementara itu, tinjauan di lokasi pendaftaran mendapati rata-rata pelajar baharu teruja dan tidak sabar untuk memulakan lembaran baharu dalam fasa kehidupan kampus mereka.
SEBAGAI PLATFORM TERBAIK
Bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Annajah, Baling, Muhammad Adam Hanif Zulkipeli, peluang melanjutkan pengajian di POLIMAS dianggap sebagai platform terbaik untuknya melangkah lebih jauh.
“Saya sangat seronok dapat masuk belajar di POLIMAS dan tidak sabar untuk meneroka bidang baharu yang mencabar ini,” ujarnya.
Pendirian sama juga dikongsi Nurul Syakinah Zainul Abidin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa, Kedah yang menyifatkan sistem pengajian di institusi berkenaan mempunyai keunikan tersendiri.
TEORI DAN PRAKTIKAL
“Saya sangat teruja kerana di sini kami boleh mempelajari kedua-dua elemen iaitu teori dan praktikal secara serentak dalam satu masa,” katanya.
Bagi Nur Rahmuna Yafis Nawawi dari SMK Guar Chempedak pula, dia mengakui ada perasaan gementar namun semangatnya untuk bergelar mahasiswa jauh lebih tinggi.
“Sejujurnya ada rasa gementar, tetapi pada masa sama sangat teruja untuk memulakan perjalanan pengajian di peringkat asasi ini,” katanya.
Program Asasi Kejuruteraan POLIMAS merupakan antara laluan pintar yang ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melangkah terus ke peringkat ijazah sarjana muda dengan pengisian kurikulum yang dinamik serta berdaya saing. – JM
sumber jendelamadani.net