POLIMAS-PTSB giat perkasa pembangunan program Ijazah Sarjana Muda TVET

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
29 June 2026
Akademik, Aktiviti Ketua Pengarah, Aktiviti Pelajar, BERITA

Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) kini giat memperkukuh persediaan ke arah pelaksanaan Program Ijazah Sarjana Muda yang dijangka akan bermula pada sesi akademik 2027/2028.

Pembangunan program-program baharu inimelibatkan empat bidang strategik iaitu Teknologi Pengurusan Fasiliti, Teknologi Mekanikal (Sistem Rel), Teknologi Mekanikal (Pembuatan Termaju) serta Teknologi Kejuruteraan Elektronik.
 
Menurut Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, selaku Politeknik Premier, POLIMAS kini telah bersedia ke arah pelaksanaan program-program tersebut melalui pelaksanaan Program Needs Analysis(PNA) serta sesi libat urus bersama pihak industri.

MEMPERKUKUH DAPATAN PNA

Beliau berkata, sesi Focus Group Discussion (FGD) yang diadakan bertujuan memperkukuh dapatan PNA agar pembangunan kurikulum yang dirancang benar-benar selari dengan kehendak industri, perkembangan teknologi semasa serta keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

“Pembangunan program ini turut memberi penekanan kepada penghasilan graduan TVET yang kompeten, relevan, berkemahiran tinggidan berdaya saing selaras dengan aspirasi pemerkasaan pendidikan TVET negara,” jelas beliau.
 
Bagi memperkukuh pembangunan program tersebut, satu Bengkel Kerja Penyediaan Kajian Penawaran Program Baharu melalui sesi Focus Group Discussion (FGD) telah diadakan selama dua hari di The Jerai Hotel Alor Setar melibatkan hampir 50 orang penggubal kurikulum bersama barisan panel industri yang mewakili kepakaran strategik bagi setiap bidang program yang dirancang.

KURIKULUM YANG RESPONSIF

Perbincangan yang diadakan memberi fokus kepada pembangunan kurikulum yang responsif, kompetensi graduan, keperluan telnologi semasa, pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning – WBL), pensijilan progesional serta pengukuhan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
 
Sementara itu, Pengerusi Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti (ISM FM) POLIMAS merangkap Penggubal Kurikulum Ts. Dr. Sofizain Adam berkata, “Struktur kurikulum yang sedang dibangunkan dirangka secara dinamik dengan penglibatan aktif pihak industri bagi memastikan kandungan pengajian sentiasa relevan dan responsif terhadap perkembangan teknologi semasa”.

Menurut beliau, antara aspek utama yang diberikan perhatian termasuklah elemen automasi, pendigitalan, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), pelaksanaan WBL serta pembangunan kemahiran insaniah yang seimbang dalam kalangan pelajar.

KEPENTINGAN PENGLIBATAN AKTIF
 
Dalam majlis yang sama, Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),  A. Azman Arshad menekankan kepentingan penglibatan aktif pihak industri dalam pembangunan program-program baharu di politeknik.

Menurut beliau, sesi FGD yang dilaksanakan menjadi platform penting bagi mendapatkan pandangan, keperluan serta input semasa industri agar pembangunan kurikulum yang dirancang benar-benar memenuhi kehendak pasaran pekerjaan dan perkembangan teknologi semasa.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama strategik antara politeknik dan industri perlu terus diperkukuh bagi memastikan program-program yang dibangunkan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi serta mampu melahirkan graduan TVET yang kompeten, profesional dan memenuhi keperluan sektor industri negara. – JM

sumber https://jendelamadani.net/

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti