





Skuad sofbol Malaysia University (MU) melakar sejarah gemilang apabila mendominasi pentas akhir dengan merangkul gelaran juara berganda (double champions) bagi kategori Lelaki dan Wanita di Kejohanan Sofbol Kebangsaan Kali Ke-50 di Padang Sofbol, POLIMAS, hari ini.
Kejohanan berprestij yang berlangsung selama empat hari anjuran Persatuan Sofbol Malaysia (SAM) ini menyaksikan kebangkitan luar biasa pasukan universiti tersebut, sekali gus memecah dominasi kuasa besar sofbol negeri.
Dalam aksi final kategori Lelaki yang penuh mendebarkan, pasukan MU mempamerkan kualiti permainan bertenaga tinggi untuk menundukkan pencabar hebat, Wilayah Persekutuan A, yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan Negeri Sembilan.
GEMILANG YANG SAMA
Skrip gemilang yang sama berulang dalam kategori Wanita apabila skuad MU sekali lagi membuktikan taring mereka.
Gergasi sofbol tanahair, Selangor, terpaksa akur di kedudukan naib juara selepas tunduk kepada ketajaman strategi MU, manakala Negeri Sembilan sekali lagi mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga.
Kejayaan bersejarah ini disambut dengan penuh emosi dan kesyukuran oleh para pemain yang telah bertungkus-lumus membawa nama universiti ke puncak tertinggi.
SATU PENGHORMATAN BESAR
Pemain skuad Lelaki MU yang juga penuntut POLIMAS, Muhammad Arif Anuar, menyifatkan kemenangan ini sebagai satu penghormatan besar buat dirinya dan pasukan.
“Kemenangan ini adalah hasil kerja keras dan disiplin tinggi seluruh pasukan. Beraksi di laman sendiri di POLIMAS memberikan tonik tambahan buat saya untuk memberikan aksi terbaik demi memecah dominasi pasukan negeri,” katanya.
Nada kegembiraan yang sama turut dikongsi oleh tunjang utama skuad Wanita MU dari Politeknik Ungku Omar, Nurul Alhidayah Aina Senen.
“Kami turun dengan status bukan pilihan, namun strategi jurulatih dan keserasian mantap sesama pemain menjadi kunci utama.
KEKANGAN JADUAL AKADEMIK
Gelaran “double champions”
ini membuktikan kekangan jadual akademik bukan penghalang untuk kami bergelar juara kebangsaan,” ujar beliau.
Pengiktirafan Peringkat Tertinggi
Naib Presiden SAM, Syaiful Nazli Selamat, menzahirkan rasa bangga atas mutu mutu kesukanan yang dipamerkan oleh kesemua 25 pasukan yang bertanding (16 pasukan Lelaki dan 9 pasukan Wanita).
“Kejohanan edisi jubli emas kali ini membuktikan bahawa kualiti sukan sofbol negara berada pada tahap tertinggi. Kejayaan MU membuktikan bahawa program sukan di peringkat pengajian tinggi mampu melahirkan atlet bertaraf elit,” ujar beliau ketika ditemui.
PENUTUP DAN PENYAMPAIAN
Majlis penutupan dan penyampaian pingat telah disempurnakan oleh Penolong Setiausaha Kanan Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Muhamad Firdaus Nor Hashim.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Ambilan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Azizul Azrin Makmur, serta Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya.
Kejohanan kali ini bukan sahaja berjaya menaikkan standard sukan sofbol tempatan, malah POLIMAS Jitra telah membuktikan keupayaan terbaik mereka sebagai tuan rumah dalam mengendalikan kejohanan berskala besar ini dengan lancar. – JM