Jumlah pendaftaran pelajar baharu di POLIMAS melonjak luar biasa Sesi 1-2026/2027 Oleh: Sholina Osman 23 JUN 2026

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
06 July 2026
Akademik, BERITA, SUARA TV

Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) merekodkan lonjakan luar biasa apabila menerima pendaftaran seramai 1,836 pelajar baharu bagi peringkat diploma Sesi 1-2026/2027 di Dewan Sri Mas, di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan, Ts. Mohd Zulkefli Ibrahim berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan mendadak berbanding norma pengambilan kebiasaan institusi berkenaan iaitu seramai 1,380 orang pelajar.

“Sambutan luar biasa daripada golongan muda ini sekaligua telah membuktikan POLIMAS terus mendapat kepercayaan tinggi daripada masyarakat untuk melanjutkan pengajian,” kata beliau semasa menyampaikan Sesi Taklimat Waris hari ini.

SETINGGI-SETINGGI PENGHARGAAN

Beliau berkata pihak pengurusan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa atas kepercayaan ini demi masa depan anak-anak mereka.

Sehubungan itu pihaknya juga amat menghargai kefahaman mereka terhadap situasi semasa di kampus.

Mengulas mengenai aspek prasarana ekoran peningkatan jumlah pelajar itu, beliau memberi jaminan bahawa pihak politeknik akan memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan terbaik demi keselesaan proses pembelajaran.

Katanya, sebarang keperluan penambahbaikan kemudahan akan dibawa terus ke peringkat pengurusan tertinggi untuk tindakan susulan.

SENARIO LONJAKAN TERSEBUT

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman berkata, senario lonjakan tersebut bakal membawa kepada sedikit perubahan dalam kaedah penyampaian akademik di kampus berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sesi pembelajaran secara bersemuka (fizikal) tetap dikekalkan bagi semua aktiviti yang melibatkan kerja praktikal dan amali bagi memastikan kualiti latihan kemahiran pelajar sentiasa berada pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, tinjauan di lokasi pendaftaran mendapati rata-rata pelajar baharu menyatakan rasa teruja dan tidak sabar untuk memulakan pengajian masing-masing.

YANG AMAT MENGUJAKAN

Bagi pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Muhammad Amsyar Hakim Mohd Ramlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permaisuri Nur Zahirah, Besut, Terengganu, peluang belajar di POLIMAS adalah satu perkara yang amat mengujakan.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Humaira HairulHadafi dari SMK Banting, Selangor yang memilih jurusan Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, serta Muhammad Shazieq Zainol dari SMK Seksyen 5, Shah Alam, Selangor yang mengambil bidang Diploma Kejuruteraan Elektronik. – JM

Sumber https://jendelamadani.net/

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti