Kajian Awal Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026, ukur tahap dan corak amalan membaca rakyat Malaysia

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
02 July 2026
Aktiviti Pelajar, BERITA, Kolaborasi

KUCHING, 2 Julai 2026 – Kajian Awal Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026 yang sedang dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) merupakan satu inisiatif penting dalam menilai tahap dan corak amalan membaca rakyat Malaysia, sekali gus menjadi asas kepada pembangunan dasar serta strategi memperkukuh budaya membaca di negara ini.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan PNM, Dr. Norsharyna Shafawi, berkata kajian berkenaan bertujuan membangunkan asas pengukuran Indeks Membaca Kebangsaan.

“Perpustakaan Negara Malaysia sedang melaksanakan Kajian Awal Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026 bagi membangunkan asas pengukuran indeks membaca negara melalui penilaian menyeluruh terhadap tahap, corak, faktor dan impak amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya ketika ditemui sempena pelaksanaan kajian tersebut di Kolej Komuniti Kuching (KKKG), semalam.

Menurut beliau, dapatan kajian ini akan menjadi rujukan penting kepada pelbagai pihak dalam merancang program dan inisiatif yang lebih berkesan bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat.

Pelaksanaan kajian di KKKG dijalankan secara bersemuka dan digital menggunakan aplikasi Google Forms, dengan setiap responden hanya perlu meluangkan masa antara lima hingga 10 minit untuk melengkapkan soal selidik. Sesi di KKKG menyasarkan penyertaan antara 50 hingga 100 orang responden yang terdiri daripada warga kolej serta para pelajar.

Dr. Norsharyna turut menegaskan bahawa setiap maklum balas yang diterima amat bernilai kerana akan membantu PNM dan kerajaan merangka dasar, perancangan serta pelaksanaan inisiatif pembudayaan membaca yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

Kajian Awal Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) 2026 berlangsung mulai 1 Jun hingga 31 Ogos 2026. Sehubungan itu, seluruh rakyat Malaysia diseru untuk mengambil bahagian dan memberikan kerjasama bagi memastikan dapatan kajian yang diperoleh benar-benar mencerminkan amalan membaca masyarakat di negara ini.

Terdahulu, Dr. Norsharyna yang diiringi oleh Penolong Pengarah Dr. Norhasyimatul Naquiah Ghazali mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw, bagi membincangkan pelaksanaan Kajian Awal IMK 2026 di kolej tersebut. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pengurusan, Elfy Fariza Sharkawi; Timbalan Pengarah Akademik, Nurul Hidayah Yussof; serta Penolong Pustakawan, Meno Patrick Bai. -KKKG-

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti