
Perak, 3 Julai – Politeknik Muadzam Shah (PMS) terus melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai Juara Fotografi Terbaik sempena Program Jalinan Warisan Kebangsaan & UNESCO (JIWAKU) 2026 yang berlangsung di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Perak dari 1 hingga 3 Julai lalu.
Kejayaan tersebut diraih oleh Muhammad Aiman bin Nordin dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) menerusi karya fotografi yang memaparkan keindahan warisan serta keunikan Lembah Lenggong, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Kemenangan ini membuktikan bakat, kreativiti dan keupayaan pelajar PMS dalam menghasilkan karya visual berkualiti yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan.
Delegasi PMS yang terdiri daripada pelajar Sekretariat Seni Budaya Politeknik Muadzam Shah (SSBPMS) dan Unit Instruksional dan Multimedia (UIDM), diiringi oleh Cik Syuhairah binti Mohd Norhisham Lee, turut disertai pasukan vlogger yang dianggotai oleh Ellysa Hazlin binti Hamdan (JPH), Nourul Ameera Qistina Wanda binti Azuanazahary (JKM) dan Aira Fatin Hanina (JTMK). Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk Bengkel Tarian Dabus, lawatan ke Galeri Lenggong Geopark dan Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, aktiviti Geotrail serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kawasan warisan.
Kejayaan ini memperlihatkan keupayaan pelajar Politeknik Muadzam Shah dalam menghayati dan memartabatkan warisan negara melalui penghasilan karya kreatif yang berkualiti. Pencapaian ini sekali gus memperkukuh aspirasi PMS untuk melahirkan graduan TVET yang berdaya saing, berkemahiran tinggi dan mampu mencipta kecemerlangan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
