
IPOH, 15 JUN – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus mengukuhkan dominan dalam arena ketenteraan sukarela apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Malaysian Polytechnics Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 17/2026. Kejayaan monumental ini menyaksikan PUO melakar sejarah merekodkan kejuaraan keseluruhan buat kali ke-8.
Lebih manis, kemenangan berganda ini diraih di bumi sendiri apabila PUO menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi edisi kali ini. Kem tahunan berskala nasional yang berlangsung selama dua minggu (1 hingga 15 Jun lalu) itu dianjurkan dengan kerjasama strategik Rejimen 503 Askar Wataniah, Tentera Darat Malaysia (TDM), dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Perhimpunan berprestij ini menghimpunkan hampir 1,000 pegawai dan anggota sukarela Askar Wataniah dalam kalangan pelajar politeknik seluruh negara. Sepanjang program, para peserta diuji daripada aspek ketahanan fizikal dan mental, disiplin, kepimpinan, serta semangat patriotisme yang tinggi.
Kontinjen PUO memamerkan dominasi luar biasa sepanjang saingan, termasuk menjuarai acara kemuncak Merentas Halangan. Konsistensi, disiplin tinggi, dan semangat berpasukan yang jitu akhirnya melayakkan mereka menjulang Piala Pusingan Keseluruhan Terbaik MALPTAAC Siri 17/2026, sekali gus mengetepikan cabaran hebat daripada kontinjen-kontinjen lain.
Pengarah PUO, Dr. Hajah Salmi Che Meh melahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian bersejarah itu yang disifatkannya sebagai hasil komitmen luar biasa dan persiapan rapi warga kampus sejak tahun lalu.
“Alhamdulillah, ini adalah detik yang amat membanggakan. Menjadi juara keseluruhan buat kali ke-8 membuktikan keupayaan luar biasa warga PUO – bukan sahaja cemerlang sebagai peserta, malah berupaya mengendalikan penganjuran program berskala nasional pada standard yang tertinggi.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa kerja PUO, pihak Tentera Darat Malaysia, JPPKK, serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa, dan idea. Kejayaan ini adalah refleksi nyata kepada semangat kerja berpasukan dan milik seluruh keluarga besar PUO,” katanya.
Beliau turut memberikan pengiktirafan khusus kepada para pegawai, jurulatih, dan anggota sukarela Wataniah PUO yang dikenali sebagai Kompeni Delta atas impak dan kualiti juang yang ditunjukkan.
“Tahniah kepada Kompeni Delta yang membuktikan bahawa disiplin dan kesungguhan mampu melahirkan impak yang luar biasa. Pencapaian ini menjadi bukti konkrit bahawa pelajar TVET mampu menyerlah dan berdaya saing dalam pelbagai bidang, termasuk kepimpinan, ketenteraan, dan pembangunan sahsiah. Saya percaya legasi ini akan terus menjadi inspirasi kepada generasi pelajar PUO akan datang,” tambah beliau.
Majlis Penutupan MALPTAAC Siri 17/2026 berlangsung penuh gilang-gemilang dengan pelbagai demonstrasi ketenteraan berprofil tinggi. Antara yang mencuri tumpuan ialah Demonstrasi Rapid Drill Exercise (RDX) dan aksi penerjunan bebas (freefall).
Suasana di padang PUO bertukar gamat apabila ruang udara PUO dihiasi oleh aksi sembilan penerjun bebas daripada Cawangan Payung Terjun, Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK). Terjunan yang menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari ketinggian 5,000 kaki itu membawa sembilan bendera rasmi, termasuk Jalur Gemilang, bendera PUO, dan bendera MALPTAAC, sekali gus menjadi antara momen paling ikonik dalam sejarah penganjuran.
Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad, yang turut menyampaikan amanat serta kata-kata semangat kepada semua kontinjen.
Kejayaan dwi-pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan status PUO menuju ke arah Politeknik APEX, malah berjaya meletakkan satu penanda aras (benchmark) baharu yang lebih tinggi bagi penganjuran MALPTAAC di Malaysia pada masa hadapan.
