Kunjungan mesra Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ke Politeknik METrO Johor Bahru Perkukuh 13 Iltizam POLYCC 2026

POLITEKNIK METRO JOHOR BAHRU
18 July 2026
Aktiviti Ketua Pengarah, Uncategorized

JOHOR BAHRU, 9 Julai 2026 – Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) berbesar hati menerima kunjungan mesra YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bersama Pengarah, Bahagian Ambilan & Pembangunan Pelajar, JPPKK, Tn. Hj. Azirin bin Abdul Aziz serta barisan pengarah institusi POLYCC Johor. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Pengarah Politeknik METrO Johor Bahru, Dr. Supa’at bin Hj. Zakaria @ Jawahir, barisan pengurusan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) serta seluruh warga PMJB dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

Program diteruskan dengan sesi lawatan sekitar kampus bagi memberi pendedahan kepada delegasi mengenai kemudahan, persekitaran pembelajaran serta inisiatif yang dilaksanakan oleh PMJB dalam memperkukuh pendidikan TVET. Lawatan ini turut menjadi platform untuk berkongsi pencapaian, amalan terbaik dan usaha berterusan PMJB dalam melahirkan graduan yang berkualiti serta memenuhi keperluan industri.

Kemuncak program menyaksikan penyampaian amanat oleh YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah yang menekankan hala tuju serta aspirasi 13 Iltizam Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2026 sebagai panduan kepada seluruh warga POLYCC. Beliau turut menyeru agar setiap warga terus memperkukuh budaya kerja cemerlang, mengamalkan semangat kebersamaan, memperkasakan inovasi serta meningkatkan kecemerlangan penyampaian pendidikan TVET demi melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kunjungan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara JPPKK, institusi POLYCC Johor dan PMJB, malah menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kecemerlangan organisasi dalam merealisasikan agenda transformasi pendidikan TVET negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti