
PERMATANG PAUH, 15 Julai 2026 – Politeknik Seberang Perai (PSP) terus memperkukuh agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penganjuran Sesi Libat Urus TVET Collaboration Hub (TCH) Bidang Teknologi Logistik Halal yang menghimpunkan lebih 30 syarikat, agensi kerajaan, badan profesional dan pemain industri.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Haji Mohd Ruzi bin Hamzah, Pengarah Politeknik Seberang Perai. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kolaborasi strategik antara institusi TVET, kerajaan dan industri merupakan pemangkin utama dalam melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, berdaya saing serta memenuhi keperluan semasa industri.
Majlis kemudiannya disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melalui gimik menandatangani plak Program TVET Collaboration Hub (TCH) sebagai simbolik komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh ekosistem kolaborasi strategik antara institusi TVET, kerajaan dan industri.
TVET Collaboration Hub (TCH) merupakan sebuah ekosistem kolaborasi strategik yang menghimpunkan institusi TVET, kementerian, agensi kerajaan dan industri melalui perkongsian kepakaran, teknologi, peralatan, kurikulum, pendanaan serta pembangunan tenaga kerja. Penubuhannya adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis TVET Negara Bilangan 1 Tahun 2021 yang menggariskan pendekatan baharu bagi memperkukuh sinergi antara institusi TVET dan industri dalam pembangunan modal insan negara.
Dalam pelaksanaan TCH bagi bidang Teknologi Logistik Halal, Politeknik Seberang Perai melalui Centre of Technology (COT) Logistic berperanan sebagai HUB yang memusatkan kepakaran dalam bidang logistik. Ekosistem ini turut melibatkan institusi TVET sebagai Spoke, kementerian dan agensi kerajaan sebagai Enabler, manakala industri, badan profesional serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai Benefactor.
Sesi libat urus ini merupakan penglibatan pertama PSP dalam pelaksanaan TCH bagi bidang Teknologi Logistik Halal. Program ini bertujuan memperkenalkan konsep TVET Collaboration Hub kepada semua pemegang taruh, memperluaskan jaringan kerjasama strategik serta mendapatkan input industri bagi memperkukuh pembangunan ekosistem TVET yang lebih responsif terhadap keperluan semasa.
Antara fokus utama sesi libat urus ialah meneroka peluang kerjasama dalam perkongsian kepakaran, teknologi, penyelidikan, inovasi, pembangunan kurikulum, latihan tenaga kerja, infrastruktur serta pendanaan. Di samping itu, sesi ini turut menjadi platform untuk mengenal pasti cabaran semasa yang dihadapi industri logistik agar penyelesaian yang lebih efektif dapat dibangunkan secara bersama.
Penyertaan syarikat dalam sesi libat urus ini membuktikan komitmen tinggi sektor industri terhadap agenda pemerkasaan TVET negara. Kolaborasi strategik yang terjalin dijangka membuka lebih banyak peluang dalam bidang latihan industri, penyelidikan gunaan, inovasi, pensijilan profesional, pemindahan teknologi dan kebolehpasaran graduan.
Penganjuran program ini memperkukuh kedudukan Politeknik Seberang Perai sebagai peneraju dalam pembangunan Teknologi Logistik Halal melalui HaLTEC serta menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasakan TVET sebagai pemacu pembangunan ekonomi negara yang berteraskan inovasi, teknologi dan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri.


