Kolej Komuniti Jasin dan Al Taj Food Marketing & Services Sdn Bhd meterai surat hasrat perkukuh kerjasama strategik industri

KOLEJ KOMUNITI JASIN
28 July 2026
Kolaborasi
JASIN, 22 Julai 2026 – Kolej Komuniti Jasin (KKJS) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan industri menerusi Majlis Menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) bersama Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. yang berlangsung di Auditorium Kolej Komuniti Jasin.

Majlis tersebut menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan strategik bagi memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), khususnya dalam bidang logistik dan rantaian bekalan. Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman industri melalui latihan industri, perkongsian kepakaran, pembangunan kurikulum, penyelidikan serta pelaksanaan program-program yang memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan.

Surat Hasrat tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Kolej Komuniti Jasin, Sr. Mohamad Kelana bin Juwit, manakala Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Encik Tajul Ariffin bin Abdullah.

Dalam ucapannya, Sr. Mohamad Kelana merakamkan penghargaan kepada Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. atas kesediaan menjalinkan kerjasama strategik bersama Kolej Komuniti Jasin.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. yang sentiasa komited menjalin kerjasama dengan Kolej Komuniti Jasin.”

Beliau berkata, hubungan erat antara institusi pendidikan dan pihak industri amat penting dalam memastikan program TVET sentiasa relevan dengan keperluan semasa serta mampu melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Menurut beliau lagi, penglibatan aktif pihak industri bukan sahaja membantu memperkukuh aspek pembelajaran, malah memberi peluang kepada pelajar untuk memahami budaya kerja sebenar, perkembangan teknologi dan kompetensi yang diperlukan dalam sektor logistik serta rantaian bekalan.

Majlis menandatangani LOI ini turut menjadi platform kepada kedua-dua organisasi untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama pada masa hadapan, termasuk pelaksanaan latihan berasaskan industri, program sangkutan, perkongsian kepakaran profesional, pembangunan kurikulum serta penganjuran program akademik dan kemahiran yang memberi manfaat kepada pelajar dan tenaga pengajar.

Kerjasama strategik ini membuktikan komitmen Kolej Komuniti Jasin dalam memperluas jaringan kolaborasi bersama industri bagi memastikan pendidikan TVET yang ditawarkan sentiasa selari dengan keperluan sektor pekerjaan. Melalui sinergi ini, KKJS terus beriltizam melahirkan graduan yang kompeten, berkemahiran tinggi, berdaya saing serta bersedia menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan industri negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti