
SUNGAI PETANI, 28 Julai 2026 – Program Jelajah Inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dan Taklimat Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) hasil kerjasama Yayasan LTAT dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah berlangsung dengan jayanya di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah.
Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik bagi memperluaskan akses pendidikan dan latihan kemahiran kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) serta anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui penawaran program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang disediakan oleh Kolej Komuniti.
Turut hadir mendengar taklimat tersebut ialah YBhg. Brigedier Jeneral Mohd Fouzi bin Sulaiman, Panglima 6 Briged, bersama isteri, Puan Zulaina binti Yunus, Pengerusi BAKAT 6 Briged yang menunjukkan sokongan padu terhadap usaha memperkasakan pendidikan dan pembangunan kemahiran dalam kalangan warga serta keluarga ATM.
Dr. Reezlin bin Abd. Rahman, Pengarah Kolej Komuniti Sungai Petani telah menyampaikan Taklimat Pendidikan Sepanjang Hayat, yang memberi penerangan mengenai peranan kolej komuniti dalam menyediakan latihan TVET yang berkualiti, fleksibel dan berorientasikan keperluan industri. Beliau turut berkongsi pelbagai peluang pembelajaran yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti ATM bagi meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran serta potensi keusahawanan.
Menurut beliau, kerjasama antara JPPKK dan Yayasan LTAT merupakan satu langkah strategik yang selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) sebagai pemacu pembangunan modal insan negara. Melalui rangkaian Kolej Komuniti di seluruh negara, latihan kemahiran dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan dekat dengan komuniti, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai warga serta keluarga ATM untuk mengikuti latihan yang relevan dan praktikal.
Selain sesi taklimat, program ini turut menampilkan demonstrasi Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai pelaksanaan kursus-kursus pendek yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan menarik minat peserta untuk menyertai latihan kemahiran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan, kerjaya mahupun bidang keusahawanan.
JPPKK percaya bahawa kursus-kursus yang ditawarkan bukan sahaja memberi penekanan kepada kemahiran teknikal secara hands-on, malah turut membangunkan kemahiran keusahawanan, pengurusan perniagaan dan penjanaan pendapatan. Pendekatan ini diharap dapat melahirkan komuniti yang lebih berkemahiran, berdaya saing dan mampu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.
Melalui pelaksanaan Program K²T, JPPKK berharap kerjasama strategik bersama Yayasan LTAT akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan dengan penawaran lebih banyak program berimpak tinggi yang memenuhi keperluan semasa industri serta menyokong agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat dan pembangunan TVET negara.
Program ini membuktikan komitmen berterusan JPPKK dan Yayasan LTAT dalam memperkasakan komuniti ATM melalui pendidikan kemahiran yang inklusif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada warga dan keluarga ATM untuk membina masa depan yang lebih mampan melalui pendidikan dan latihan TVET.

