
3 Ogos, SHAH ALAM – Majlis Pra-Pelancaran Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCCSkills) Tahun 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) YBrs. Ts. Suhairi bin Ismail.
POLYCCSkills merupakan antara inisiatif strategik JPPKK dalam memperkukuh agenda pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara. Penganjuran pertandingan ini mencerminkan komitmen berterusan POLYCC dalam melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri semasa, malah berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan, usahawan berdaya saing serta penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Melalui penyertaan dalam POLYCCSkills, para pelajar didedahkan kepada standard pertandingan kemahiran yang tinggi, budaya kecemerlangan serta amalan kerja profesional yang selaras dengan keperluan industri. Pengalaman ini turut menjadi platform persediaan terbaik bagi melahirkan peserta yang mampu bersaing dalam pertandingan kemahiran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain mengasah kemahiran teknikal, penyertaan dalam POLYCCSkills turut memberi peluang kepada pelajar membina keyakinan diri, meningkatkan daya tahan mental, mengurus tekanan dalam situasi pertandingan serta menyemai budaya penambahbaikan berterusan. Nilai-nilai ini amat penting dalam membentuk graduan TVET yang kompeten, berdaya saing, berintegriti dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Bagi tahun 2026, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) telah diberi penghormatan sebagai institusi pengelola bagi 8 bidang pertandingan yang melibatkan seramai 129 orang peserta. Sementara itu, Kolej Komuniti (KK) Shah Alam mengendalikan 1 bidang pertandingan dengan penyertaan sebanyak 7 kumpulan yang terdiri daripada 14 orang peserta.
8 bidang pertandingan yang akan dipertandingkan di PSA adalah:
• IT Network Systems Administration;
• IT Network Systems Solution for Business;
• Geomatic;
• Digital Construction;
• Web Technology;
• Collaborative Robot;
• Software Testing; dan
• Additive Manufacturing.
Manakala, 1 bidang pertandingan iaitu bidang Landscape Gardening akan berlangsung di Kolej Komuniti (KK) Shah Alam.
Kehadiran peserta dari seluruh negara bukan sahaja menyemarakkan suasana pertandingan, malah mencerminkan semangat perpaduan, persaingan yang sihat serta budaya perkongsian ilmu dan kepakaran yang menjadi tunjang kepada kecemerlangan komuniti TVET Malaysia.
Turut hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Pengarah Akademik PSA, YBrs. Ts. Dr. Ahmad Aftas bin Azman; Pengarah KK Shah Alam, YBrs. Encik Mohd Nafiz bin Mohd Nazly selaku Pengerusi Bersama POLYCCSkills 2026; serta barisan ahli pengurusan PSA dan KK Shah Alam.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada semua peserta dan menyeru agar mereka memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan dengan menjunjung tinggi nilai profesionalisme, integriti dan semangat kesukanan. Beliau turut berharap agar penyertaan dalam POLYCCSkills 2026 menjadi pengalaman yang bermakna, membuka ruang kepada pembangunan bakat serta menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan perasmian Pra Pelancaran Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCCSkills) Tahun 2026.
