POLYCCSkills pemangkin kecemerlangan bakat dan kemahiran pelajar TVET

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
06 August 2026
Aktiviti Pelajar, BERITA

6 OGOS 2026, SHAH ALAM – Pertandingan Kemahiran Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCCSkills) merupakan sebuah platform yang menjadi medan untuk menguji kompetensi sebenar para pelajar berdasarkan standard industri dan menyemai budaya kecemerlangan yang mendorong setiap individu untuk sentiasa berusaha mencapai prestasi terbaik serta mempelajari amalan kerja profesional yang selaras dengan keperluan industri.

Pengalaman ini mendidik pelajar dalam membuat persediaan terbaik bagi melahirkan graduan yang mampu bersaing dalam pertandingan kemahiran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Nilai-nilai ini amat penting dalam membentuk graduan TVET yang kompeten, berdaya saing, berintegriti dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta memberi peluang kepada pelajar membina keyakinan diri, meningkatkan daya tahan mental, mengurus tekanan dalam situasi pertandingan serta menyemai budaya penambahbaikan berterusan.

POLYCCSkills merupakan antara inisiatif strategik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniiti (JPPKK) dalam memperkukuh agenda pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Penganjuran pertandingan ini mencerminkan komitmen berterusan JPPKK dalam melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri semasa, malah berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan, usahawan berdaya saing serta penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Usaha ini selaras dengan komitmen JPPKK dalam menterjemahkan 13 ILTIZAM Ketua Pengarah JPPKK antaranya;

  1. Melahirkan graduan JPPKK yang kompeten, berkeyakinan serta memiliki nilai tambah dan kelebihan daya saing yang tinggi untuk memenuhi keperluan industri selaras dengan Iltizam 12: Gaji Bermaruah dan Bekerja Dalam Bidang.
  1. JPPKK sentiasa komited membangunkan potensi pelajar secara menyeluruh selaras dengan memastikan setiap pelajar diberi peluang untuk berkembang mengikut bakat dan potensi masing-masing, bertepatan dengan Iltizam 8: Tiada Pelajar Tercicir.
  1. Bagi melahirkan graduan yang holistik, berintegriti, berdaya saing serta mampu menjadi pemimpin masa hadapan yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi, kemajuan industri dan kemakmuran negara seperti yang dinyatakan pada Iltizam 12: Gaji Bermaruah dan Bekerja Dalam Bidang.

POLYCCSkills tahun ini diterajui oleh Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP) dan Bahagian Kurikulum (BK), JPPKK dengan kerjasama 11 institusi iaitu Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) sebagai pengelola utama dan pengelola bersama iaitu;

  1. Politeknik Port Dickson
  2. Politeknik Banting
  3. Politeknik Nilai
  4. Politeknik METrO Kuala Lumpur
  5. Kolej Komuniti Kuala Langat
  6. Kolej Komuniti Hulu Langat
  7. Kolej Komuniti Selayang
  8. Kolej Komuniti Shah Alam
  9. Kolej Komuniti Rembau
  10. Kolej Komuniti Bandar Baharu

Sebanyak 27 bidang kemahiran berjaya dipertandingkan dengan penyertaan seramai 349 orang pelajar politeknik dan kolej komuniti yang berbakat tinggi.

Terdapat tiga (3) anugerah utama yang dipertandingan pada POLYCCSkills 2026 iaitu Anugerah Minda Emas yang merupakan anugerah utama kepada peserta bagi bidang di bawah sektor teknologi. Manakala,  Anugerah Jari Emas merupakan anugerah utama kepada peserta bagi bidang di bawah sektor sains sosial dan perkhidmatan. Seterusnya, anugerah utama bagi bidang di bawah sektor kejuruteraan adalah Anugerah Tangan Emas.

Anugerah Minda Emas dianugerahkan keapada;

Irfan Haiqal bin Azmira dari Kolej Komuniti Ampang dengan bidang Web Technology.

Anugerah Jari Emas dianugerahkan kepada;

Nur Aishah Athirah binti Sulahudin dari Politeknik Balik Pulau dengan bidang Graphic Design Technology.

Manakala, bagi Anugerah Tangan Emas dianugerahkan kepada;

Mohammad Zuhairul Naim bin Abdullah dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dengan Bidang Kategori Additive Manufacturing.

Majlis Perasmian Penutup POLYCCSkills 2026 dirasmikan oleh Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, YBrs. Dr. Haji Mohd Daud bin Isa dengan diiringi oleh Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan (BGK) JPPKK, YBrs. Ts. Mohd Zulkefli bin Ibrahim; Pengarah BAPP JPPKK, YBrs. Tuan Haji Azirin bin Abdul Aziz; Pengarah BK JPPKK, YBrs. Puan Hilmun binti Mohamed; dan Timbalan Pengarah Akademik PSA, YBrs. Ts. Dr. Ahmad Aftas bin Azman. Turut hadir bersama-sama Ahli Pengurusan PSA, Pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti dan rakan kolaborasi PSA.

Ucapan perasmian penutup oleh Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, YBrs. Dr. Haji Mohd Daud bin Isa
Dari kiri YBrs. Puan Hilmun binti Mohamed; YBrs. Ts. Mohd Zulkefli bin Ibrahim; Pemenang Anugerah Tangan Emas (Zuhairul); YBrs. Dr. Haji Mohd Daud bin Isa; Pemenang Anugerah Minda Emas (Irfan); Pemenang Anugerah Jari Emas (Aishah); YBrs. Tuan Haji Azirin bin Abdul Aziz; dan YBrs. Ts. Dr. Ahmad Aftas bin Azman.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti