
SEBERANG JAYA – Antara punca utama lepasan graduan berdepan kesukaran mendapat pekerjaan bukanlah kerana kurang cemerlang, sebaliknya berpunca daripada ketidakpadanan kemahiran (skills mismatch). Senario ini berlaku apabila kemahiran yang dipelajari di institusi pendidikan tidak lagi selari dengan kepesatan teknologi yang diguna pakai oleh sektor industri hari ini.
Sejajar dengan keperluan ini, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) di bawah mandat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menggerakkan satu inisiatif strategik melalui pendekatan berteraskan data industri yang sahih dengan menghimpunkan peneraju utama pasaran bagi menterjemahkan keperluan sebenar tenaga kerja terus ke dalam bilik kuliah.
Inisiatif strategik ini digerakkan melalui Sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD), satu metodologi penyelidikan kualitatif di bawah Kajian Keperluan Pasaran (MNA) dan Analisis Keperluan Program (PNA).
Analogi mudahnya, sebelum sesebuah kilang (POLYCC) menghasilkan produk (graduan), mereka perlu bertanya kepada pembeli (industri) apakah spesifikasi produk yang mereka mahu. Sesi FGD inilah platform berstruktur di mana penggubal dasar pendidikan menemu bual majikan secara terus.
” Dunia pantas berubah. Melalui sesi FGD ini, kita mendapat data primer secara terus. Apa teknologi terkini yang kilang guna? Kemahiran apa yang paling sukar dicari oleh majikan hari ini? Jawapan dari sesi inilah yang akan memastikan setiap program baharu di Politeknik kelak bersifat kalis masa depan (future-proof).”
Dr. Segar a/l Raja Manickam
Pengerusi Jawatankuasa Kajian Keperluan Pasaran (MNA) & Program Needs Analysis (PNA) bidang tumpuan Sektor Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (HGHV).
Data kualitatif yang diperoleh daripada perbincangan ini amat kritikal kerana ia boleh dipertahankan (defensible) dan disokong oleh bukti sebenar (evidence-based). Ia memastikan pelaburan pendidikan kerajaan dioptimumkan untuk melatih anak bangsa dalam bidang yang mempunyai unjuran permintaan tenaga kerja yang tinggi dan mampan.
Menariknya, kajian MNA dan PNA ini disasarkan khusus kepada lima Sektor Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (HGHV) yang bakal menjadi nadi ekonomi baharu negara, iaitu:
Kelima-lima sektor ini sejajar dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta perancangan strategik Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Sektor-sektor strategik ini bukan sahaja dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang meluas malah menawarkan prospek kerjaya dengan struktur pendapatan yang lebih kompetitif.
Mengulas mengenai potensi perancangan ini terhadap kemajuan ekonomi negara, Norlili Juwita Arshad, Pengarah PTSB berkata:
“Modal insan adalah aset kritikal dalam merealisasikan aspirasi NIMP 2030 ke arah ekonomi bernilai tinggi. Usaha proaktif PTSB menjajarkan kurikulum dengan lima sektor HGHV ini dilihat mampu memudah cara proses integrasi graduan ke dalam industri di samping memperkukuh keyakinan pelabur terhadap kualiti dan kebolehsuaian (adaptability) rantaian tenaga kerja TVET Malaysia.”
Secara keseluruhannya, input berharga daripada pemain utama industri ini akan memacu hala tuju reka bentuk kompetensi, keperluan fasiliti makmal, dan standard latihan industri bagi program pengajian yang bakal ditawarkan.
Pendekatan berpandangan jauh (forward-looking) ini bukan sahaja melonjakkan reputasi PTSB sebagai rujukan utama kajian MNA tetapi juga mencerminkan kesungguhan berterusan sistem TVET negara untuk menghasilkan graduan berkemahiran tinggi yang diiktiraf oleh pasaran global.

