PTSB rintis penubuhan hab robotik MRTCH sebagai sinergi strategik atasi jurang kemahiran industri negara

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
11 August 2026
Industri

SEBERANG JAYA – Dalam mendepani peralihan pantas landskap perindustrian negara ke arah automasi dan sistem pintar, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mengambil usaha proaktif dengan merintis penubuhan Mechatronics Robotics Technology Collaborative Hub (MRTCH).

Sebagai langkah pertama yang berstruktur, PTSB telah menganjurkan sesi Focus Group Discussion (FGD) yang menghimpunkan pemain industri utama, agensi kerajaan dan badan profesional bagi merangka hala tuju hab teknologi berkenaan.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Pengarah PTSB, Norlili Juwita Arshad menegaskan bahawa pendekatan pendidikan teknikal perlu berevolusi sejajar dengan kepesatan teknologi.

“Kita tidak boleh lagi mengajar teknologi semalam untuk industri hari ini. Sesi libat urus melalui FGD ini adalah komitmen PTSB untuk mendengar ‘denyut nadi’ industri, sekali gus memastikan ekosistem TVET kita kekal relevan dengan kelajuan Industri 4.0 dan 5.0.”

Umum mengetahui bahawa teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan Internet of Things (IoT) berkembang pada kadar yang jauh lebih pantas berbanding proses semakan silibus akademik konvensional. Hal ini sering mewujudkan ‘jurang kemahiran’ (skills gap) di mana graduan mempunyai kelayakan sijil tetapi kurang pendedahan praktikal terhadap mesin dan sistem terkini yang digunakan di lantai kilang.

Menyentuh aspek pelaksanaan hab baharu ini, Pengerusi program, Dr. Ros Saidatunnaziah binti Md Yusoff, menjelaskan bahawa MRTCH akan menterjemahkan persekitaran industri ke dalam kampus.

“MRTCH direka sebagai sebuah pusat simulasi dunia sebenar. Kami mahu para pelajar dan pelatih dari seluruh rangkaian TVET meneroka pelbagai senario industri, menguji kemahiran dan mencari penyelesaian teknikal di pusat ini terlebih dahulu. Matlamat utama kita adalah bagi memastikan setiap graduan yang dilahirkan tidak hanya bersandarkan sijil tetapi memiliki daya ketahanan dan kompetensi sebagai bakat yang sedia industri (industry-ready).”

Sepanjang sesi FGD berlangsung, perbincangan tertumpu kepada unjuran masa hadapan industri pembuatan berteknologi tinggi. Para pakar industri menggariskan keperluan mendesak terhadap tenaga kerja yang tidak hanya cekap mengendalikan mesin tetapi mampu menyelenggara, memprogram dan menyelesaikan masalah sistem siber-fizikal (Cyber-Physical Systems).

Dapatan berharga daripada percambahan fikiran ini akan diangkat sebagai asas utama oleh PTSB dalam menstrukturkan model tadbir urus dan kurikulum MRTCH. Perancangan strategik ini turut merangkumi penawaran pensijilan profesional oleh badan bertauliah, program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) buat pelajar mahupun pekerja industri.

Langkah ini juga amat bertepatan dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang menyasarkan Malaysia sebagai negara pengeluar berteknologi tinggi.

“Penubuhan MRTCH bukan sekadar penambahan fasiliti di dalam kampus tetapi ia adalah jambatan strategik yang menghubungkan dewan kuliah terus ke lantai industri. Kita mahu graduan PTSB menjadi penyelesaian kepada keperluan tenaga mahir negara, bukan sekadar pencari kerja,” tambah Norlili menutup bicara.

Melalui rangkaian kolaborasi yang utuh ini, MRTCH dijangka bakal memposisikan PTSB sebagai pusat rujukan rintis di wilayah utara bagi ekosistem TVET MADANI yang mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi terhadap landskap ekonomi Malaysia.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti