
KULIM, 10 Ogos 2026 – Pencapaian Ong Soon Jin, (21 tahun), graduan Diploma Kejuruteraan Mekatronik dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kedah jelas membuktikan peranan penting Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam memenuhi keperluan industri kini.
Ong Soon Jin dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Sungai Petani, Kedah. Beliau telah mempamerkan prestasi akademik yang cemerlang sepanjang pengajiannya dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93. Beliau turut menerima Anugerah Ketua Jabatan pada setiap semester di PTSB dan kini berjaya merangkul Anugerah Khas Graduan Cemerlang Holistik.
Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara 2026 telah berlangsung di Arau, Perlis kelmarin. Pada majlis tersebut, Ong Soon Jin telah menerima sijil penganugerahannya daripada Pengarah Sumber Manusia Ultra Clean Technology (Malaysia) Sdn. Bhd., Dr. Koh Ngee Loke.
Ong Soon Jin menasihati para pelajar junior agar tidak sekadar mengejar jawapan secara membuta tuli, sebaliknya mereka perlu mendalami akar umbi sesuatu masalah bagi memupuk kemahiran menyelesaikan masalah untuk mendepani cabaran dunia sebenar.
Projek Akhir Rangkul Pelbagai Anugerah
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PTSB kelmarin, projek akhir Ong yang bertajuk “Sustainable Thermoelectric Generator for Agriculture Application” telah memenangi pingat emas dalam Research and Teaching Innovation Competition (RTIC) 2024. Selain itu, projek tersebut turut merangkul pingat emas dan Anugerah Idea Generation Terbaik dalam National Invention & Innovation Competition, Exhibition and Robot-Sumo (NICERS’24)
Semasa menjalani latihan industri di Ultra Clean Technology (Malaysia) Sdn. Bhd., beliau telah terpilih untuk mengikuti program perkongsian ilmu selama tujuh minggu di Shanghai, China.
Kini, beliau berkhidmat sebagai juruteknik di bahagian Mesin Kawalan Berangka Komputer (CNC) danAcuan di syarikat multinasional yang sama, Ultra Clean Technology (Malaysia) Sdn. Bhd di Batu Kawan. Di samping tugas harian, beliau juga aktif mendalami teknologi percetakan 3D untuk memperluas kemahirannya sekali gus mempersiapkan diri demi merealisasikan impian untuk bergelar pakar teknologi robotik pada masa hadapan.
Oleh: Lim Seng Choon
10 Ogos 2026, 10.05 pagi