Dari Sisa Tekstil ke Pentas Fesyen, Pelajar Kolej Komuniti Kuching Serlah Kreativiti

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
13 August 2026
Aktiviti Pelajar, Alumni, BERITA, Kolaborasi

KOTA SAMARAHAN, 13 Ogos — Kreativiti tiga pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) Kolej Komuniti Kuching (KKKG) mengubah sisa tekstil kepada rekaan busana lestari apabila kumpulan mereka, Wastelust, meraih Anugerah Best Design kategori pelajar dalam Program Fashion Show, Rekaan Busana Kelestarian Alam Sekitar 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.

Kumpulan Wastelust dianggotai Alya Sofiya Abdul Razak dan Arisya Shamiera Azmannuddin, pelajar Semester 3 SFP, serta Marry Wong, pelajar Semester 1 SFP, di bawah bimbingan pensyarah, Najwa Najihah Islahuddin.

Kejayaan itu menyerlahkan keupayaan pelajar TVET bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, malah mengaplikasikan kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial serta mengambil kira kelestarian alam sekitar.

Menurut Pegawai Pembangunan Pelajar KKKG, Jefferyson Adam, penilaian pertandingan meliputi aspek inovasi, pembentangan dan penerangan rekaan, nilai komersial, kemasan jahitan serta impak terhadap kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, rekaan Wastelust berjaya menarik perhatian juri menerusi gabungan elemen kelestarian, kreativiti dan kekemasan jahitan, khususnya melalui penggunaan semula sisa tekstil yang berpotensi mengurangkan pembaziran dalam industri fesyen.

“Rekaan yang dihasilkan bukan sahaja menampilkan kreativiti pelajar, tetapi membuktikan bahawa bahan yang dianggap sebagai sisa masih mempunyai nilai apabila diolah dengan idea dan kemahiran yang tepat,” katanya.

Program berkenaan memberi peluang kepada pelajar dan alumni KKKG mengetengahkan bakat serta kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dalam bidang fesyen dan rekaan kreatif, selain membawa mesej kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar.

Program turut disertai alumni SFP KKKG yang kini menceburi bidang keusahawanan melalui perusahaan masing-masing termasuk Taz Collection, Effa Shairi, Borneo Bloom dan My Studio.

Penyelaras Program Dana Industri Kreatif Belia Sarawak (SYCIF), Lyona Stephen, berkata pelaksanaan Fashion Show berkenaan bukan sekadar platform mempamerkan hasil kreativiti belia, malah menjadi ruang untuk membangunkan bakat, memperkukuh keyakinan diri, menggalakkan inovasi serta membuka peluang kepada golongan muda meneroka potensi dalam industri kreatif Sarawak.

“Satu amanah untuk digalas, satu tanggungjawab untuk dilaksanakan, dan satu ruang untuk mencipta peluang kepada generasi belia Sarawak,” katanya.

Program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dengan kerjasama Persatuan Bersatu Alumni Kolej Komuniti Kuching (PBAKKKG) dan penyertaan KKKG itu dilaksanakan menerusi Dana Industri Kreatif Belia Sarawak (SYCIF).

Inisiatif tersebut bertujuan memperkasa pembangunan belia melalui kreativiti dan inovasi dengan menyediakan ruang kepada mereka untuk mengetengahkan bakat, idea serta potensi dalam industri kreatif. Kejayaan Wastelust turut membuktikan bahawa pendekatan TVET yang diterapkan di KKKG mampu melahirkan pelajar yang bukan sahaja kompeten dari aspek kemahiran, tetapi berupaya menghasilkan inovasi yang relevan dengan keperluan industri dan cabaran kelestarian masa kini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti