
18 Ogos, Shah Alam – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah menganjurkan Karnival Sihat Merdeka melibatkan warga dan pelajar PSA bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) serta Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS).
Penganjuran Karnival Sihat Merdeka ini bertepatan dengan tema HKHM tahun ini, iaitu “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang menekankan kepentingan kesejahteraan rakyat sebagai salah satu asas pembangunan negara. Pada masa yang sama, BMSS merupakan inisiatif tahunan KKM bagi menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Konsep “Sihat Merdeka” membawa mesej bahawa penghayatan kemerdekaan bukan sekadar meraikan kebebasan negara, malah turut menuntut setiap individu menghargai nikmat kehidupan dengan menjaga kesihatan fizikal, mental dan emosi. Gaya hidup aktif, sihat dan sejahtera perlu dijadikan sebahagian daripada amalan kehidupan seharian bagi melahirkan masyarakat yang produktif dan berkualiti.
Selaras dengan hasrat tersebut, penjagaan kesihatan diri dan kesejahteraan jiwa turut mencerminkan pemerkasaan 6K, iaitu Kebajikan, Keharmonian, Keberkatan, Kesihatan, Keselamatan dan Kebersihan, yang menjadi asas kepada budaya kerja dan pengurusan di institusi politeknik dan kolej komuniti. Inisiatif ini juga seiring dengan Iltizam 6: Pemerkasaan 6K Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Karnival ini turut menjadi platform dalam membentuk modal insan yang berjiwa merdeka, bersemangat patriotik serta sejahtera dari aspek mental dan fizikal. Aktiviti berkonsepkan semangat kemerdekaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menyemai nilai kerjasama, disiplin, perpaduan dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan warga serta pelajar PSA.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan sepanjang karnival, antaranya Pertandingan Nyanyian Merdeka, Senam Sihat, Fun Run Merdeka, Tarik Tali Merdeka, Boling Kelapa dan Explorace Merdeka. Turut diadakan ialah pemeriksaan kesihatan dan gigi, kempen derma darah, pameran oleh pelbagai Jabatan dan Agensi kerajaan serta ceramah berkaitan keselamatan dan kesihatan.
Majlis perasmian Karnival Sihat Merdeka telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Muhammad Haikal bin Ghazali, Pegawai Kesihatan Daerah Petaling, dengan diiringi oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA, YBrs. Encik Mohd Khairul Mu’adzim bin Hashim, serta YBrs. Puan Edawaty binti Ujang, Ketua Sektor Promosi Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.
Penganjuran Karnival Sihat Merdeka diharapkan dapat terus menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan warga PSA, di samping membudayakan amalan hidup sihat dan memperkukuh nilai perpaduan serta kesejahteraan bersama.
PSA Sihat, Sejahtera dan Merdeka – Sihat Diri, Sejahtera Jiwa, Teguh Patriotisme!

