
SHAH ALAM, 9 SEPTEMBER 2026 – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terus memperkasakan agenda pengantarabangsaan dan pembentukan graduan berdaya saing global menerusi penganjuran PSA-Aichi Keisei Cultural Exchange Program 2026 yang berlangsung di Dewan Al-Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Program anjuran Jabatan Pengajian Am (JPA) bersama Kelab Orator dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar PSA ini menyambut ketibaan perwakilan seramai 58 orang pelajar dan 3 orang guru dari Aichi Keisei High School, Jepun.
Majlis perasmian dan penyampaian token penghargaan telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan A.Azman bin Arshad, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersama wakil pengurusan Aichi Keisei High School. Program ini turut menyokong Teras Strategik PSA dalam melahirkan graduan TVET holistik yang menguasai kemahiran komunikasi merentas budaya serta kesukarelawanan.
Antara pengisian utama program termasuklah:
1. Sesi Pertukaran Seni & Kebudayaan: Persembahan tarian kebudayaan oleh pelajar PSA dan persembahan kebudayaan Jepun oleh pelajar Aichi Keisei High School.
2. Interactive Cultural Booths: Pendedahan secara terus (hands-on) kepada warisan Melayu seperti penyediaan Teh Tarik, permainan tradisional (Congkak, Batu Seremban, Sepak Bulu Ayam), dan demonstrasi pemakaian busana tradisional Malaysia.
3. Pengenalan Alat Muzik Tradisional: Pelajar diberi peluang untuk mencuba alat muzik tradisional Melayu (Caklempong & Kompang).
Pihak pengurusan PSA merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh jawatankuasa pelaksana dan para peserta atas komitmen padu dalam menjayakan program mobiliti antarabangsa ini.

