
PORT DICKSON: Bermula dengan sijil di Kolej Komuniti Masjid Tanah, siapa sangka perjalanan pendidikan Qhuzaerie Samsudin Surendran akhirnya membawanya menggenggam diploma, menerima Anugerah Pelajar Cemerlang dan seterusnya membina kerjaya dalam industri rel.
Kisah kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa laluan pendidikan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu membuka ruang kepada generasi muda untuk melangkah lebih jauh dalam pendidikan dan kerjaya.
Qhuzaerie, yang pada awalnya mengikuti pengajian di peringkat sijil di Kolej Komuniti Masjid Tanah, tidak menjadikan kelayakan tersebut sebagai noktah dalam perjalanan pendidikannya. Sebaliknya, beliau terus melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam bidang Diploma Teknologi Signal dan Komunikasi Rel di institusi yang sama.
“Walaupun saya bermula dengan sijil di kolej komuniti, kini saya berjaya membuktikan bahawa saya juga mampu berjaya dengan menggenggam segulung diploma dan menerima anugerah ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka yang berlangsung di Politeknik Premier Port Dickson.
Menurutnya, kejayaan yang diraih bukanlah hasil usaha sendiri semata-mata, sebaliknya turut didorong oleh sokongan ibu bapa, rakan-rakan serta para pensyarah yang sentiasa memberikan galakan dan bantuan sepanjang tempoh pengajiannya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada ibu bapa sepanjang melengkapkan pengajian, di samping rakan-rakan dan para pensyarah yang sentiasa membantu saya dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan,” ujarnya.
Beliau turut berpendapat bahawa tahap kelayakan akademik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang untuk mengejar kejayaan. Sebaliknya, setiap peluang pendidikan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membina masa depan yang lebih baik.
Lebih membanggakan, perjalanan pendidikan Qhuzaerie kini diteruskan dalam alam pekerjaan apabila beliau telah bergelar Juruteknik di sebuah syarikat kereta api terkemuka di negara ini dengan gaji asas bulanan sehingga RM2,300.
Bapanya, Samsudin Surendran, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan bangga dengan pencapaian anaknya serta menghargai peluang yang diberikan oleh Kolej Komuniti Masjid Tanah kepada Qhuzaerie untuk melanjutkan pengajian.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kolej Komuniti Masjid Tanah kerana telah membuka peluang untuk anak saya melanjutkan pengajiannya sehingga kini mampu memperoleh gaji asas bulanan yang tinggi,” katanya.
Qhuzaerie merupakan antara 691 graduan Kolej Komuniti Negeri Melaka yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka yang berlangsung di Politeknik Premier Port Dickson.
Sesi penyampaian skrol dan anugerah kepada para graduan telah disempurnakan oleh Dr. Zamzam Mohd Walid, Pengarah Kanan Kompetensi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
Kisah Qhuzaerie membuktikan bahawa perjalanan yang panjang bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Dengan peluang, usaha dan sokongan yang tepat, sijil boleh menjadi langkah pertama menuju diploma, kerjaya dan masa depan yang lebih cerah.
