
PORT DICKSON – Muhammad Airiz Haikal Yusri, 21, merupakan antara 619 graduan Kolej Komuniti Negeri Melaka yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Politeknik Premier Port Dickson. Pada majlis tersebut, beliau menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Teknologi Automotif Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka (KKBBM).
Kini bertugas di Peugeot Service Centre, Melaka, Airiz sememangnya menyimpan hasrat untuk menceburi bidang automotif sejak di bangku sekolah. Namun, impian untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak kesampaian apabila beliau tidak berjaya mendapat tempat di IPTA.
Namun begitu, perkara tersebut tidak mematahkan semangat Airiz untuk terus mengejar impiannya. Atas nasihat dan galakan daripada seorang sahabat yang mengikuti pengajian Sijil Kulinari di KKBBM, beliau mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminatinya, iaitu Sijil Teknologi Automotif di KKBBM.
“Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka merupakan peluang kedua buat saya apabila permohonan untuk melanjutkan pengajian di IPTA tidak berjaya. Tenaga pengajar di KKBBM banyak membantu, memberi nasihat dan meyakinkan saya bahawa industri automotif mempunyai masa depan dan peluang kerjaya yang cerah.”
Minat yang mendalam terhadap bidang automotif mendorong Airiz untuk memberikan komitmen terbaik sepanjang tempoh pengajian. Kesungguhan dan usaha yang berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya meraih Anugerah Pelajar Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian yang diraih sepanjang pengajian di KKBBM.
Selepas menamatkan pengajian, Airiz kini meneruskan langkah dalam industri automotif dengan berkhidmat di Peugeot Service Centre, Melaka. Pengalaman bekerja dalam industri memberikan peluang kepada beliau untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari sepanjang pengajian, di samping terus meningkatkan kompetensi dalam bidang tersebut.
Beliau turut menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman bagi merealisasikan impian untuk menjadi seorang pakar dalam bidang automotif.
Kisah Airiz membuktikan bahawa tidak berjaya mendapat tempat di IPTA bukanlah penghalang untuk seseorang mencapai kejayaan. Dengan kesungguhan, minat dan keberanian mengambil peluang kedua, setiap individu mampu mencipta laluan kejayaan tersendiri.