POLIMAS Rangkul Naib Johan, Empat Anugerah Pendebat Terbaik

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
04 October 2026
Aktiviti Pelajar, BERITA, Malaysia Aktif

ALOR SETAR, 22 Sept (MalaysiaAktif) – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) muncul Naib Johan Pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu Piala Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) 2026 yang berlangsung di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), dari 18 hingga 21 September lalu.

Kejayaan itu disumbangkan Pasukan Debat A yang mara ke pentas akhir dan menduduki kedudukan kedua daripada 24 pasukan, selain meraih dua Anugerah Pendebat Terbaik menerusi Muhammad Nur Syahmin Mohamad Sahrizan dan Kahyeesah Hayrul.

Pasukan itu turut dianggotai Muhammad Haikal Rahimi Mohd Fauzi dan Muhammad Azrie Naufal Azahari.

Muhammad Nur Syahmin berkata kejayaan itu merupakan hasil kerja keras, keserasian dan disiplin tinggi seluruh ahli pasukan.

“Anugerah dan kejayaan ini bukan milik individu semata-mata, sebaliknya merupakan hasil kerja keras, keserasian dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh ahli pasukan. Pertandingan debat ini menguji ketajaman minda, kematangan emosi dan keupayaan kami untuk beraksi di pentas,” katanya.

Pasukan Debat B pula berjaya ke separuh akhir dan berkongsi Tempat Ketiga, sekali gus menduduki ranking kelapan daripada 24 pasukan.

Dua anggotanya, Muhammad Taufiq Iskandar Zulkarnain dan Muhammad Faris Fahmi Ahmad Fauzi turut menerima Anugerah Pendebat Terbaik, manakala dua lagi anggota ialah Munirah Sahamdin dan Haakas Rao.

Dalam kategori Pidato, wakil tunggal POLIMAS, Nurul Halimaton Saadiah Bukhri, turut mara ke pentas akhir dan meraih Hadiah Saguhati Tempat Keempat, sekali gus menduduki ranking kedua daripada 26 peserta.

Secara keseluruhan, sembilan pelajar POLIMAS menyertai pertandingan berkenaan dengan bimbingan dua pensyarah Jabatan Pengajian Am (JPA), Ivanatasha Abdul Majid dan Nurzawanah Rohaizat.

Sementara itu, Ivanatasha berkata kejayaan berkenaan hasil komitmen tinggi pelajar yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga sepanjang latihan intensif, selain sokongan padu antara ahli pasukan serta kesediaan menerima teguran.

Pengarah POLIMAS Wan Zulkifly Wan Zakaria turut merakamkan tahniah kepada seluruh kontinjen dan menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti keupayaan pelajar dalam akademik, kemahiran insaniah, pemikiran kritis serta komunikasi.

Kejayaan tersebut sekali gus mengangkat nama POLIMAS di peringkat kebangsaan, selain memperlihatkan keberkesanan pembangunan bakat dan kemahiran insaniah pelajar melalui penglibatan dalam pertandingan debat dan pidato.

sumber https://malaysiaaktif.my/2026/09/

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti