POLYAGRO PMS julang Innopreneur 4.0

KOLEJ KOMUNITI JEMPOL
25 September 2026
Aktiviti Pelajar, Penyelidikan dan Inovasi

Sambal Garing Cendawan bawa pasukan Politeknik Muadzam Shah raih gelaran Pemenang Keseluruhan

BANGI, 23 September 2026 – Produk inovasi Sambal Garing Cendawan membawa tuah kepada Kumpulan POLYAGRO PMS dari Politeknik Muadzam Shah (PMS) apabila dinobatkan sebagai Pemenang Keseluruhan Innopreneur 4.0 Peringkat Kebangsaan.

Kejayaan itu diumumkan pada Majlis Penutupan Innopreneur 4.0 yang berlangsung di Bangi Golf Resort, baru-baru ini, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar institusi pendidikan tinggi dalam menghasilkan produk inovatif yang mempunyai nilai komersial.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hazlan bin Abdul Hamid.

Program bertemakan “Smart Innovation, Future Entrepreneurs” itu menghimpunkan 43 pasukan terdiri daripada lapan universiti awam, 17 politeknik dan 18 kolej komuniti dari seluruh negara.

Peserta berpeluang mengetengahkan idea, produk dan inovasi masing-masing, selain mengembangkan potensi produk melalui elemen keusahawanan, pemasaran digital, teknologi serta pengurusan perniagaan.

Penganjuran Innopreneur 4.0 turut menjadi platform untuk mencungkil bakat serta memperkukuh kompetensi peserta dalam membangunkan idea inovatif kepada produk dan perkhidmatan yang berpotensi menembusi pasaran.

Program berkenaan dianjurkan Bahagian Perancangan Strategik, KPT dengan kerjasama Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Unit Keusahawanan POLYCC Zon Melaka dan Negeri Sembilan.

Kolej Komuniti Jempol bertindak sebagai tuan rumah bagi penganjuran Innopreneur 4.0 Peringkat Kebangsaan.

Kejayaan POLYAGRO PMS diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak penghasilan inovasi berimpak tinggi dalam kalangan warga POLYCC dan institusi pendidikan tinggi.

Tahniah diucapkan kepada POLYAGRO PMS atas pencapaian membanggakan itu serta syabas kepada seluruh peserta, mentor, urus setia dan semua pihak yang menjayakan Innopreneur 4.0 Peringkat Kebangsaan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti