
SHAH ALAM, 26 SEPT 2026 – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Pusat Bertauliah yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) meraikan 41 penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3; iaitu Pelukisan Pelan Mekanikal dan 4 orang pelajar yang sedang melalui proses pensijilan SKM Tahap 2; iaitu Radiografi Industri melalui Program Non Destructive Test (NDT) TVET bersama Agensi Nuklear Malaysia (ANM).
Program SKM Tahap 3 memberikan peluang kepada pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal PSA untuk memperoleh dwi pengiktirafan, iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan SKM Tahap 3 Pelukisan Pelan Mekanikal.
Laluan ini dibangunkan melalui pemetaan kurikulum kepada NOSS MC-080-3:2013, diikuti proses pentauliahan, pembangunan personel, latihan, penilaian dan verifikasi.
Manakala, Program Pensijilan Non Destructive Test (NDT) TVET memberikan pendedahan kepada pelajar dalam bidang teknikal khusus dan membuktikan bahawa kerjasama antara institusi TVET dengan agensi teknikal mampu membuka laluan kompetensi yang lebih luas kepada pelajar. 4 orang pelajar PSA sedang mengikuti laluan kompetensi ini , perlu melengkapkan Latihan Industri selama 180 hari sebagai sebahagian daripada proses membangunkan, menguji dan membuktikan kompetensi sebelum melalui proses seterusnya ke arah pengiktirafan SKM.
Program pada hari ini membawa tema Celebrating Competence, Recognising Excellence membawa mesej bahawa keupayaan, kemahiran dan kompetensi individu wajar diraikan, manakala pencapaian, usaha dan prestasi cemerlang perli diberi pengiktirafan sebagai tanda penghargaan dan motivasi untuk terus meningkatkan potensi diri.
Setelah beroperasi selama hampir 6 tahun, sebanyak 285 graduan telah berjaya dihasilkan melalui pembiayaan Dana Wibawa dan 244 graduan melalui pembiayaan Dana Perkasa TVET 1.0 di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran. Secara keseluruhannya, seramai 529 graduan telah mendapat manfaat melalui dua laluan ini.
Program Penuh SKM Tahap 3 Pelukisan Pelan Mekanikal telah melahirkan seramai 97 graduan dan berjaya memperoleh pengiktirafan kompetensi. Selain itu, menghubungkan kurikulum akademik dengan standard kemahiran pekerjaan.
Bagi Program NDT bersama ANM merupakan satu contoh institusi pendidikan bekerjasama dengan agensi teknikal untuk memberikan pendedahan dan laluan kompetensi kepada pelajar.
Sepanjang kira-kira enam tahun beroperasi, Pusat Bertauliah PSA telah berjaya mewujudkan anggaran penjanaan pendapatan sebanyak RM1.35 juta melalui pelaksanaan program latihan dan pensijilan kompetensi.
Pada angka ini terdapat kemahiran yang dikomersialkan, latihan yang dilaksanakan, kompetensi yang dibangunkan dan individu yang dipersiapkan untuk dunia pekerjaan. Inilah nilai sebenar peranan dan konsep Pusat Bertauliah iaitu “Komersialisasi Kemahiran, Menjana Pendapatan, Memacu Kebolehpasaran Graduan.”
Justeru, ekosistem TVET perlu sentiasa berkembang dan membuka lebih banyak laluan kepada pelajar untuk mendapatkan kompetensi yang relevan dengan dunia pekerjaan.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Tuan Haji Ulaimi bin Yahya Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

