FUN RIDE GROUP CHALLENGE 2026 @ KAMPUNG TEMENIN: KOLEJ KOMUNITI KOTA TINGGI PERKUKUH JALINAN KOMUNITI DAN PEMBELAJARAN LAPANGAN

KOLEJ KOMUNITI KOTA TINGGI
29 September 2026
Aktiviti Pelajar, Komuniti

26 September 2026 – Fun Ride Group Challenge 2026 yang berlangsung di Kampung Temenin, Kota Tinggi, Johor menghimpunkan komuniti setempat menerusi aktiviti riadah dan gaya hidup aktif, sekali gus membuka ruang pembelajaran sebenar kepada pelajar Semester 3 Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL), Kolej Komuniti Kota Tinggi. Program ini turut menjadi medan kepada para pelajar untuk terlibat secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti bersama pihak penganjur dan komuniti setempat. Melalui penglibatan tersebut, pelajar berpeluang mengasah kemahiran dalam aspek pengurusan aktiviti, komunikasi, koordinasi dan kerja berpasukan dalam situasi sebenar.

Program turut diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Tuan Mohamad Nazrul bin Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor selaku perasmi program; Yang Berbahagia Puan Hafifah binti Dato’ Abdul Halim, Timbalan Pengarah mewakili Pengarah MOTAC Johor; Yang Berusaha Encik Mohamad Amin bin Kadiman, Timbalan Pengarah Tourism Johor merangkap Pegawai Khas Pelancongan Menteri Besar Johor; Yang Berusaha Encik Md Ezam bin Md Daimon, Pengerusi Persatuan Homestay Negeri Johor merangkap Naib Pengerusi Persatuan KampungStay Homestay Malaysia; Encik Mohammad Nasirudin bin Aris dari Unifi Johor; Yang Berusaha Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib, Ahli Parlimen Tenggara merangkap Pengerusi RESIDA Malaysia; serta Haji Zainoh bin Haji Musa, Setiausaha Persatuan Homestay Negeri Johor merangkap Setiausaha Program Fun Ride Group Challenge 2026.

Turut hadir ialah Puan Sharini binti Zakaria, Pengarah Kolej Komuniti Kota Tinggi. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen pihak pengurusan dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti, di samping menyokong penglibatan pelajar dalam program pembelajaran luar kampus.

Pengalaman pelajar di Kampung Temenin turut diperkukuh menerusi Program Pelancongan Berasaskan Komuniti (PBK) dan Aktiviti Keluarga Angkat yang dilaksanakan pada 25 hingga 26 September 2026. Menerusi program tersebut, pelajar berpeluang mendekati komuniti setempat serta mengenali kehidupan harian, budaya dan tradisi masyarakat Kampung Temenin.Pendekatan ini memberi gambaran yang lebih jelas kepada pelajar tentang peranan komuniti dalam pembangunan pelancongan setempat, selain membuka ruang untuk mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam bilik kuliah melalui interaksi dan pengalaman sebenar bersama masyarakat.

Menurut pelajar Semester 3 Sijil Pengembaraan Pelancongan, Airin Atashah, penglibatan dalam program tersebut memberi pengalaman yang berbeza berbanding pembelajaran di dalam kelas. “Melalui program ini, kami dapat berinteraksi secara langsung dengan komuniti, belajar bekerjasama dalam kumpulan serta memahami bagaimana sesuatu program pelancongan dilaksanakan dalam situasi sebenar. Pengalaman bersama keluarga angkat juga memberi pendedahan yang sangat bermakna kepada kami tentang kehidupan dan budaya masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Sijil Pengembaraan Pelancongan, Encik Muhamad Faiz bin Abdul Razak berkata, penglibatan dalam program seperti ini penting dalam membentuk keyakinan dan kompetensi pelajar. “Program ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam bilik kuliah, khususnya dalam aspek komunikasi, pengurusan aktiviti, kerja berpasukan dan interaksi bersama komuniti. Pendedahan seperti ini penting dalam menyediakan pelajar dengan pengalaman sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Secara keseluruhannya, penyertaan Kolej Komuniti Kota Tinggi dalam Fun Ride Group Challenge 2026 mencerminkan hubungan strategik antara institusi pendidikan dan komuniti dalam memperluas ruang pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar. Jalinan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan kolej dengan masyarakat setempat, malah membuka peluang kepada pelajar untuk membina keyakinan, kemahiran dan kefahaman yang lebih mendalam melalui pengalaman langsung di lapangan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti