Pensijilan dwi perkasa graduan TVET PSA 69 graduan SKM pelukisan pelan mekanikal terima pengiktirafan kemahiran

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
29 September 2026
Akademik, BERITA

SHAH ALAM, 29 SEPTEMBER 2026 – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi TVET yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui pelaksanaan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pelukisan Pelan Mekanikal Tahap 3, yang mengintegrasikan pendidikan akademik dengan pensijilan kemahiran kebangsaan.

Program yang mendapat pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sejak tahun 2020 ini merupakan salah satu inisiatif strategik PSA dalam memperkukuh ekosistem TVET melalui latihan berasaskan kompetensi yang memenuhi keperluan dan standard kemahiran kebangsaan.

Pelaksanaan program ini terhasil daripada pemetaan kurikulum Diploma Kejuruteraan Mekanikal kepada National Occupational Skills Standard (NOSS), sekali gus membolehkan pelajar memperoleh dua bentuk pengiktirafan dalam satu laluan pendidikan, iaitu kelayakan akademik dan pensijilan kemahiran.

Sempena Majlis Konvokesyen PSA Ke-27 yang telah berlangsung baru-baru ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak, seramai 69 graduan Program SKM Pelukisan Pelan Mekanikal Tahap 3 diraikan selepas berjaya menamatkan latihan dan memperoleh Pensijilan Dwi (Dual Certification) yang merangkumi Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada PSA serta Sijil Kemahiran Malaysia daripada JPK.

Kejayaan 69 graduan ini mencerminkan potensi yang telah diperkasa melalui pendidikan dan latihan berasaskan kompetensi selaras dengan Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026, “Melonjak Potensi, Mencipta Legasi”.

Pensijilan dwi ini memberikan nilai tambah kepada graduan dengan menggabungkan pengetahuan akademik dan kompetensi praktikal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Pendekatan tersebut turut memberi peluang kepada graduan untuk tampil dengan profil kompetensi yang lebih menyeluruh dalam memenuhi tuntutan industri yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, adaptif dan kompeten.

Sehubungan itu, integrasi pendidikan akademik dan pensijilan kemahiran mampu membentuk graduan yang memiliki kompetensi, keyakinan dan nilai tambah untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.

Kualiti pelaksanaan program dipastikan melalui pematuhan terhadap piawaian JPK yang merangkumi aspek pemetaan kurikulum, penyediaan fasiliti, kelayakan personel, pentaksiran kompetensi serta proses verifikasi oleh panel luar.

Pendekatan ini memastikan graduan yang dianugerahkan SKM benar-benar mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan dalam standard kemahiran kebangsaan.

Lebih membanggakan, kajian impak graduan mendapati 73 peratus graduan yang telah bekerja memperoleh pekerjaan yang berkaitan dengan bidang Pelukisan Pelan Mekanikal. Dapatan ini memperlihatkan keselarasan antara kompetensi yang dibangunkan melalui program dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

Keberkesanan laluan pendidikan berasaskan kompetensi ini turut terserlah apabila terdapat graduan yang berjaya menembusi pasaran pekerjaan di Singapura sebagai draughtsman dengan pendapatan sehingga RM6,600 sebulan.

Pencapaian tersebut menggambarkan bagaimana penguasaan kemahiran yang diiktiraf mampu membuka ruang kerjaya yang lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa.

Sebagai Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran, PSA terus komited memastikan program TVET yang ditawarkan sentiasa berkualiti, relevan dan responsif terhadap perkembangan industri.

Komitmen ini dizahirkan melalui pembangunan tenaga pengajar yang kompeten, penyediaan fasiliti yang bersesuaian serta pelaksanaan latihan dan pentaksiran berasaskan standard kemahiran yang ditetapkan.

Kejayaan graduan yang mampu mendapat pekerjaan dalam bidang berkaitan, termasuk yang berjaya mengembangkan kerjaya ke peringkat antarabangsa, turut memperlihatkan bahawa TVET merupakan laluan pendidikan yang menyediakan kemahiran relevan untuk memenuhi keperluan dunia pekerjaan yang dinamik.

Mereka bukan sahaja membawa pulang kelayakan akademik dan kemahiran, malah membawa bersama keupayaan untuk menyumbang kepada industri, masyarakat dan pembangunan ekonomi negara.

Inilah aspirasi TVET yang terus diperjuangkan PSA  melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang diyakini industri, berdaya saing di peringkat global dan mampu menjadi penggerak kepada pembangunan negara.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti