
SHAH ALAM, 29 SEPTEMBER 2026 – Kerjasama strategik antara Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan HomePro Malaysia terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kolaborasi yang memberi manfaat kepada pelajar, warga industri serta pembangunan bakat dalam bidang pengurusan perniagaan.
Kerjasama ini bermula dengan pemeteraian Certificate of Collaboration antara PSA dan HomePro Malaysia pada 27 Jun 2023, yang menjadi landasan kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti kolaborasi, khususnya dalam aspek penyelidikan dan pembangunan kompetensi.
Susulan kerjasama tersebut, HomePro Malaysia telah membuka peluang kepada pelajar Jabatan Perdagangan untuk mendapatkan akses kepada data pasaran serta pandangan pelanggan secara lebih mendalam bagi kursus Marketing Research.
Pendedahan ini memberi ruang kepada pelajar memahami keperluan sebenar industri serta mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam menganalisis dan menyelesaikan isu praktikal yang dihadapi oleh pihak industri.
Hasil daripada kolaborasi penyelidikan tersebut, sebuah buku bertajuk HomePro Insights: Unveiling The Future Of Industry Exploration Through Collective Research telah diterbitkan pada tahun 2024, sekali gus menjadi manifestasi hasil kerjasama antara institusi pendidikan dan industri dalam memperkaya pengalaman pembelajaran serta menghasilkan pengetahuan yang mempunyai nilai praktikal.
Komitmen HomePro Malaysia terhadap pembangunan bakat turut diteruskan apabila Ketua Pegawai Eksekutif HomePro Malaysia, Encik Teh Ah Hock, menyatakan hasrat untuk memberikan peluang kepada warga kerja HomePro Malaysia meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang pengurusan perniagaan.
Inisiatif tersebut selari dengan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang memberi peluang kepada golongan profesional untuk terus meningkatkan kompetensi, memperkukuh keupayaan melaksanakan tugas serta mengaplikasikan pengetahuan baharu dalam persekitaran pekerjaan.
Sehubungan itu, PSA telah menawarkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui Kursus Terlanggan, Sijil Profesional dalam Pengurusan Perniagaan, khusus kepada lapan (8) orang pengurus HomePro Malaysia.
Program ini dirangka dengan pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan peserta dan memberi pendedahan kepada aspek-aspek penting dalam pengurusan perniagaan. Pendekatan tersebut membolehkan peserta menghubungkan pengetahuan yang diperoleh dengan pengalaman serta cabaran sebenar di tempat kerja.
Penyertaan warga industri dalam program ini turut memperlihatkan bahawa pendidikan TVET tidak terhenti selepas seseorang memasuki alam pekerjaan, sebaliknya terus berkembang melalui budaya pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan tenaga kerja sentiasa relevan, kompeten dan responsif terhadap perubahan industri.
Sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan kesungguhan sepanjang mengikuti program, kesemua lapan (8) peserta yang berjaya menamatkan Sijil Profesional dalam Pengurusan Perniagaan telah diberikan penghormatan untuk menghadiri Majlis Konvokesyen PSA Ke-27 yang telah berlangsung baru-baru ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak.
Kerjasama PSA dan HomePro Malaysia ini membuktikan bahawa sinergi strategik antara institusi TVET dan industri mampu membuka ruang pembelajaran yang lebih luas, memperkukuh pembangunan bakat serta melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi tuntutan dunia pekerjaan yang dinamik.
Selaras dengan tema Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026, “Melonjak Potensi, Mencipta Legasi”, kolaborasi ini menjadi contoh bagaimana potensi individu dapat terus diperkasa melalui pendidikan dan pengalaman industri, seterusnya diterjemahkan kepada peningkatan kompetensi, prestasi profesional dan sumbangan yang lebih bermakna kepada organisasi serta negara.
