KOLEJ KOMUNITI KOTA TINGGI PERKUKUH PEMBELAJARAN BERASASKAN INDUSTRI MENERUSI INDUSTRY ON CAMPUS BERSAMA MYANGKASA TRAVEL & TOURS

KOLEJ KOMUNITI KOTA TINGGI
11 October 2026
Industri

KOTA TINGGI, 8 Oktober 2026 – Kolej Komuniti Kota Tinggi terus memperkukuh jaringan strategik bersama industri menerusi pelancaran Industry On Campus (IOC) bersama MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd., sekali gus membuka ruang kepada pelajar untuk memperoleh pendedahan yang lebih dekat dengan realiti dan keperluan sebenar industri pelancongan.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Shahiza binti Dato’ Ahmad Zainuddin, Pengarah, Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Turut bersama sebagai tonggak utama pihak industri dalam menjayakan kolaborasi ini ialah YBhg. Dato’ Haji Kamarudin bin Ismail, Naib Presiden, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta YBhg. Dato’ Dr. Haji Nasaruddin Othman, Penasihat Korporat, Sektor Kerajaan, ANGKASA. Di pihak Kolej Komuniti Kota Tinggi, Puan Sharini binti Zakaria, Pengarah Kolej Komuniti Kota Tinggi, selaku tuan rumah, memainkan peranan penting dalam memperkukuh pelaksanaan IOC bersama MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd.

Dalam ucapannya, Dr. Shahiza menggariskan bahawa IOC perlu berkembang sebagai platform pembelajaran berterusan yang menghubungkan institusi, industri dan pelajar, sekali gus memastikan proses pembelajaran kekal relevan dengan keperluan sebenar dunia pekerjaan. Beliau turut menyentuh kepentingan penglibatan industri secara berterusan dalam memperkukuh kompetensi dan kebolehpasaran graduan.

Dato’ Haji Kamarudin pula menekankan bahawa pendedahan kepada operasi sebenar, khidmat pelanggan, komunikasi profesional, penyelesaian masalah dan budaya kerja merupakan asas penting dalam membentuk kesiapsiagaan pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Antara pengisian utama program ialah Tourism Talk bertajuk “Navigasi Kerjaya Pelancongan: Cabaran, Peluang & Keterampilan” yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Nasaruddin Othman. Sesi berkenaan mengangkat pendekatan “factory to classroom” dengan membawa pengalaman, perspektif dan keperluan sebenar industri terus kepada pelajar.

Dalam perkongsiannya, beliau menekankan bahawa graduan bidang pelancongan perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan kelayakan akademik, malah kemahiran komunikasi, teknologi digital, kecerdasan buatan, pengurusan pelanggan, penyelesaian masalah serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri.

“Majikan hari ini bukan sahaja melihat sijil, tetapi juga kompetensi, sikap profesional, kebolehan berkomunikasi dan keupayaan seseorang graduan memberi nilai kepada organisasi,” katanya.

Program itu turut menyaksikan pemeteraian Letter of Intent (LOI) antara Kolej Komuniti Kota Tinggi dan MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd. sebagai asas kepada pengukuhan kerjasama strategik yang lebih tersusun dan berterusan.

Majlis kemudian diteruskan dengan lawatan ke Bilik Simulasi Pelancongan, penyempurnaan tandatangan papan tanda IOC oleh Dr. Shahiza serta demonstrasi ringkas oleh pelajar Program Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL). Demonstrasi tersebut memberi ruang kepada pelajar memperlihatkan kepada pihak industri keupayaan mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang proses pembelajaran.

Pelajar SPL, Aidil Hafis Musni, menyifatkan pelaksanaan IOC sebagai satu pengalaman yang memberi nilai tambah kepada pembelajaran serta membantu pelajar memahami dengan lebih dekat kehendak sebenar industri. Menurutnya, peluang berinteraksi dan memperlihatkan kemahiran kepada pihak industri turut membantu meningkatkan keyakinan pelajar dalam membuat persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Kerjasama antara Kolej Komuniti Kota Tinggi dan MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd. dijangka membuka ruang lebih luas kepada pelajar dalam aspek pendedahan industri, pembangunan kompetensi, perkongsian kepakaran dan jaringan profesional, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan graduan TVET yang lebih bersedia memenuhi keperluan dunia pekerjaan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti