
Kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Daripada bidang pendidikan, perubatan dan kewangan sehinggalah kepada sektor kejuruteraan dan pembinaan, teknologi ini berkembang dengan begitu pantas. Namun, di sebalik keterujaan terhadap keupayaan AI, satu persoalan sering dibangkitkan, iaitu adakah teknologi ini akhirnya akan menggantikan pekerjaan manusia?
Persoalan ini sememangnya berasas. Hari ini, AI bukan sahaja mampu menghasilkan penulisan dan menganalisis data, malah boleh membantu menyediakan reka bentuk, menyemak dokumen teknikal serta mengenal pasti masalah yang sebelum ini memerlukan kepakaran manusia. Tidak hairanlah jika perkembangan ini menimbulkan kebimbangan, termasuk dalam kalangan jurutera dan tenaga profesional industri pembinaan.
Namun, dalam konteks industri pembinaan di Malaysia, kita perlu melihat isu ini daripada perspektif yang berbeza. Persoalan yang lebih penting bukanlah berapa banyak pekerjaan yang akan digantikan oleh AI, tetapi sejauh mana teknologi ini mampu membantu industri pembinaan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keupayaan untuk memenuhi keperluan pembangunan negara.
Industri Pembinaan Semakin Mencabar
Industri pembinaan merupakan antara sektor penting yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara. Pembinaan jalan raya, jambatan, sistem pengangkutan, perumahan dan kemudahan awam bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah secara langsung mempengaruhi kesejahteraan masyarakat.
Walau bagaimanapun, industri ini masih berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya dari segi kebergantungan kepada tenaga kerja, kekurangan pekerja berkemahiran tinggi, peningkatan kos pembinaan, kelewatan pelaksanaan projek serta keperluan untuk memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang semakin ketat.
Di Malaysia, isu kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor pembinaan telah lama dibincangkan. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk meningkatkan penggunaan teknologi dan kaedah pembinaan moden, namun sebahagian aktiviti pembinaan masih bergantung kepada kaedah kerja konvensional yang memerlukan keperluaan tenaga manusia yang ramai.
Pada masa yang sama, projek pembinaan hari ini menjadi semakin kompleks. Sesebuah projek bukan sahaja perlu disiapkan mengikut tempoh dan kos yang ditetapkan, malah perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti kelestarian alam sekitar, kecekapan penggunaan sumber, keselamatan, perubahan iklim dan keperluan masyarakat.
Keadaan ini menuntut industri pembinaan untuk bekerja dengan lebih cekap dan bijak. Oleh itu, kita tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada pertambahan bilangan pekerja untuk meningkatkan produktiviti. Sebaliknya, kita perlu memikirkan bagaimana teknologi dapat membantu tenaga kerja sedia ada dalam menghasilkan kerja yang lebih berkualiti dengan tempoh yang lebih singkat. Di sinilah AI mempunyai potensi yang besar.
AI Membantu Jurutera Bekerja dengan Lebih Cekap
Dalam pelaksanaan sesuatu projek pembinaan, sebahagian besar masa tenaga profesional digunakan untuk mengurus maklumat. Jurutera, arkitek dan pengurus projek perlu meneliti pelbagai dokumen seperti lukisan reka bentuk, spesifikasi teknikal, laporan kemajuan, jadual kerja, anggaran kos dan rekod komunikasi antara pihak yang terlibat.
Bagi projek berskala besar, jumlah dokumen yang perlu diurus boleh mencecah ribuan halaman. Oleh itu, proses mencari, menyemak dan membandingkan maklumat ini bukan sahaja mengambil masa, malah boleh menyebabkan berlakunya kesilapan sekiranya maklumat yang digunakan tidak tepat atau tidak dikemas kini. Dengan bantuan AI, sebahagian tugasan ini berpotensi dilaksanakan dengan lebih mudah dan cepat.
Sebagai contoh, AI boleh membantu jurutera mengenal pasti percanggahan antara dokumen reka bentuk, menyemak spesifikasi teknikal, menganalisis laporan kemajuan atau menyediakan ringkasan maklumat daripada dokumen projek yang panjang.
Dalam pengurusan projek pula, AI berpotensi membantu mengenal pasti corak kelewatan kerja, menganalisis risiko serta menyokong proses perancangan dan pemantauan projek berdasarkan data sedia ada
Bayangkan seorang jurutera yang sebelum ini perlu menghabiskan beberapa jam untuk mencari maklumat daripada ratusan dokumen. Dengan bantuan AI, proses pencarian tersebut menjadi mudah dan dapat dipendekkan kepada beberapa minit, tertakluk kepada ketepatan sistem dan kualiti data yang digunakan.
Masa yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk perkara yang lebih penting, seperti menyelesaikan masalah teknikal, menilai pilihan reka bentuk dan membuat keputusan yang memerlukan pertimbangan profesional.
Inilah nilai sebenar AI dalam industri pembinaan. Teknologi ini bukan sekadar mempercepatkan proses kerja, tetapi membolehkan tenaga profesional memberikan lebih banyak tumpuan kepada tugasan yang benar-benar memerlukan kepakaran mereka.
Bolehkah AI Menggantikan Jurutera?
Walaupun AI semakin canggih, kita perlu memahami bahawa kejuruteraan bukan sekadar proses memasukkan data ke dalam komputer dan mendapatkan jawapan. Setiap keputusan kejuruteraan mempunyai implikasi terhadap keselamatan, kos, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Sesuatu reka bentuk yang kelihatan baik di atas kertas belum tentu sesuai apabila dilaksanakan di tapak pembinaan.
Sebagai contoh, dalam pembinaan jambatan, AI mungkin boleh membantu menganalisis pelbagai pilihan reka bentuk atau mengenal pasti ketidakselarasan dalam dokumen teknikal. Namun, keputusan akhir masih memerlukan jurutera memahami keadaan sebenar tapak, ciri tanah, beban struktur, risiko pembinaan dan keperluan keselamatan.
Begitu juga dalam projek tebatan banjir. AI boleh membantu menganalisis data hujan, aliran sungai atau mengenal pasti corak risiko banjir. Namun, pertimbangan terhadap kesesuaian sesuatu penyelesaian masih memerlukan kefahaman tentang keadaan hidrologi setempat, perubahan guna tanah, kekangan fizikal serta kesan kepada komuniti berhampiran. AI boleh menghasilkan pelbagai cadangan, tetapi cadangan tersebut tidak semestinya tepat atau sesuai untuk setiap keadaan.
Lebih penting lagi, AI tidak memikul tanggungjawab profesional seperti seorang jurutera. Dalam amalan kejuruteraan, keputusan reka bentuk dan keselamatan perlu dibuat, disemak dan diperakukan oleh individu yang mempunyai kelayakan serta tanggungjawab profesional yang sewajarnya.
Oleh itu, kita tidak seharusnya melihat AI sebagai pengganti pertimbangan seorang jurutera. Sebaliknya, AI perlu digunakan sebagai alat sokongan bagi membantu jurutera membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat berdasarkan maklumat yang lebih menyeluruh.
AI dan Cabaran Kehilangan Kepakaran Berpengalaman
Satu lagi cabaran yang sering kali kurang diberikan perhatian dalam industri pembinaan ialah kehilangan pengetahuan dan pengalaman apabila tenaga profesional kanan bersara atau meninggalkan organisasi. Dalam bidang kejuruteraan, terdapat pelbagai pengetahuan yang tidak semestinya boleh dipelajari melalui buku teks atau di bilik kuliah. Sebahagiannya diperoleh melalui pengalaman mengendalikan projek, berhadapan dengan masalah di tapak dan membuat keputusan dalam keadaan yang mencabar.
Seorang jurutera berpengalaman, misalnya, mungkin dapat mengenal pasti tanda awal sesuatu masalah berdasarkan pengalaman terdahulu, walaupun masalah tersebut belum begitu jelas daripada data yang tersedia. Apabila individu tersebut bersara, sebahagian daripada pengetahuan dan pengalaman berharga ini mungkin turut hilang sekiranya tidak direkodkan atau dipindahkan kepada generasi seterusnya.
Dalam hal ini, AI berpotensi membantu organisasi mengurus dan memanfaatkan pengetahuan yang telah dikumpulkan selama bertahun-tahun. Laporan projek terdahulu, rekod keputusan teknikal, kaedah penyelesaian masalah dan pelbagai dokumen organisasi boleh disusun dalam sistem digital yang membolehkan maklumat dicari dan dirujuk dengan lebih mudah.
Walaupun AI tidak mampu menjadikan seorang jurutera muda setanding dengan jurutera yang mempunyai pengalaman selama 20 atau 30 tahun, teknologi ini boleh membantu mempercepatkan proses pembelajaran dan memudahkan perkongsian pengetahuan. Dengan cara ini, pengalaman yang telah dibina oleh generasi terdahulu dapat terus dimanfaatkan untuk pembangunan pada masa hadapan.
Transformasi Digital Perlu Bergerak Seiring
Namun begitu, penggunaan AI tidak bermakna semua masalah produktiviti dalam industri pembinaan dapat diselesaikan dengan segera. Keberkesanan AI sangat bergantung pada kualiti data dan tahap kesediaan digital sesebuah organisasi. Sekiranya maklumat projek masih disimpan secara berasingan, dokumen tidak dikemas kini atau data tidak disusun dengan baik, AI juga akan menghadapi kesukaran untuk menghasilkan analisis yang boleh dipercayai.
Malah, penggunaan AI tanpa semakan yang sewajarnya boleh menimbulkan risiko baharu apabila maklumat yang tidak tepat digunakan sebagai asas kepada keputusan teknikal. Oleh itu, penggunaan AI perlu dilihat sebagai sebahagian daripada transformasi digital industri pembinaan secara menyeluruh.
Di Malaysia, usaha memperluas penggunaan teknologi seperti Building Information Modelling (BIM), Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan pelbagai platform pengurusan projek digital merupakan antara langkah penting ke arah pemodenan industri pembinaan. Sebagai contoh, kos minimum yang ditetapkan untuk mewajibkan penggunaan sistem BIM bagi projek kerajaan (termasuk projek di bawah Jabatan Kerja Raya – JKR) adalah RM10 juta dan ke atas.
Ketetapan ini dikuatkuasakan secara menyeluruh melalui Peraturan Perolehan Kerajaan (PK 1.15: Pelaksanaan Building Information Modelling) bermula pada 1 Julai 2025. Penggunaan kaedah BIM membantu mengesan konflik reka bentuk secara maya sebelum pembinaan fizikal bermula (clash detection). Ini secara langsung dapat menjimatkan kos akibat kerja runtuh/ubah, mengurangkan risiko kelewatan projek, serta memastikan pengurusan aset jangka panjang yang lebih cekap.
Penggunaan AI berpotensi melengkapkan teknologi-teknologi ini, khususnya dalam aspek analisis maklumat, pengesanan masalah, pengurusan risiko dan sokongan kepada proses membuat keputusan. Namun, organisasi tidak perlu menunggu sehingga semua sistem digital menjadi sempurna sebelum mula menggunakan AI.
Langkah yang lebih praktikal adalah bermula secara kecil-kecilan. Kenal pasti tugasan yang mengambil masa yang panjang, mempunyai proses berulang dan menggunakan data yang boleh dipercayai. Kemudian, uji bagaimana AI boleh membantu meningkatkan kecekapan tugasan tersebut. Sekiranya terbukti berkesan, penggunaannya boleh diperluas secara berperingkat tanpa mengabaikan aspek keselamatan, kualiti dan tanggungjawab profesional.
Adakah Kita Sedang Melahirkan Jurutera yang Bersedia dengan AI?
Perkembangan AI juga membawa satu persoalan penting kepada institusi pengajian tinggi, khususnya yang menawarkan program kejuruteraan. Adakah graduan kejuruteraan yang kita lahirkan hari ini benar-benar bersedia untuk bekerja dalam persekitaran industri yang semakin dipengaruhi oleh teknologi digital dan AI?
Selama ini, pendidikan kejuruteraan memberikan penekanan kepada penguasaan prinsip sains, matematik, analisis teknikal, reka bentuk dan penyelesaian masalah. Semua pengetahuan asas ini masih penting dan tidak boleh diketepikan. Namun, perkembangan teknologi menuntut graduan mempunyai kemahiran tambahan.
Jurutera masa hadapan bukan sahaja perlu memahami bagaimana sesuatu struktur direka bentuk dan dibina, tetapi juga perlu mengetahui bagaimana data boleh dianalisis, bagaimana sistem digital digunakan dan bagaimana AI dapat membantu menyelesaikan masalah kejuruteraan.
Ini tidak bermakna semua graduan kejuruteraan perlu menjadi pakar pengaturcaraan atau pembangun sistem AI. Sebaliknya, mereka perlu mempunyai kefahaman yang mencukupi untuk menggunakan teknologi ini secara berkesan, menilai ketepatan hasilnya dan mengenal pasti batasan penggunaannya. Lebih penting lagi, pelajar perlu dilatih agar tidak menerima setiap jawapan yang dihasilkan oleh AI tanpa penilaian kritikal.
Dalam bidang kejuruteraan, jawapan yang kelihatan meyakinkan tidak semestinya betul. Setiap hasil analisis perlu disemak berdasarkan prinsip kejuruteraan, piawaian teknikal dan pertimbangan profesional. Justeru, institusi pengajian tinggi perlu melihat perkembangan AI sebagai peluang untuk memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran, bukan sekadar memperkenalkan satu lagi perisian baharu kepada pelajar.
Kita perlu melahirkan jurutera yang bukan sahaja cekap menggunakan teknologi, tetapi juga mampu berfikir secara kritikal, membuat pertimbangan yang baik dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil.
Mengubah Persepsi: AI sebagai Rakan Kerja, Bukan Ancaman
Salah satu halangan utama kepada penggunaan AI ialah persepsi bahawa teknologi ini akan menyebabkan kehilangan pekerjaan. Sekiranya AI diperkenalkan kepada pekerja sebagai teknologi yang bakal menggantikan tugas mereka, sudah tentu akan wujud kebimbangan dan penolakan.
Sebaliknya, sekiranya AI diperkenalkan sebagai alat yang membantu mengurangkan beban kerja berulang, mempercepatkan urusan dokumentasi dan membolehkan pekerja memberikan lebih tumpuan kepada tugasan yang memerlukan kemahiran, penerimaannya mungkin lebih positif.
Dalam konteks Malaysia, pendekatan ini amat penting kerana usaha meningkatkan produktiviti industri pembinaan perlu dilaksanakan seiring dengan pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan. Pekerja dan tenaga profesional perlu diberikan peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui latihan, pendedahan kepada teknologi digital dan pembelajaran berterusan.
Perubahan teknologi sememangnya boleh mengubah bentuk dan skop sesuatu pekerjaan. Namun, perubahan ini juga membuka peluang kepada kemunculan kemahiran dan peranan baharu dalam industri. Apa yang lebih penting ialah memastikan tenaga kerja tidak ketinggalan dalam proses perubahan tersebut.
Mengukur Kejayaan AI dengan Cara yang Betul
Dalam menilai kejayaan penggunaan AI, kita tidak seharusnya terlalu tertumpu kepada jumlah pekerjaan yang dapat dikurangkan atau digantikan. Sebaliknya, ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana AI berjaya meningkatkan produktiviti dan keupayaan industri.
Adakah seorang jurutera kini dapat memberikan lebih banyak masa kepada penyelesaian masalah teknikal berbanding kerja dokumentasi? Adakah pasukan projek dapat mengurus maklumat dengan lebih cekap? Adakah risiko kesilapan dapat dikurangkan? Dan yang paling penting, adakah projek dapat dilaksanakan dengan lebih berkualiti, selamat dan menepati tempoh yang dirancang? Persoalan-persoalan inilah yang sepatutnya menjadi asas kepada strategi penggunaan AI dalam industri pembinaan negara.
Malaysia masih mempunyai pelbagai keperluan pembangunan infrastruktur, perumahan dan kemudahan awam. Pada masa yang sama, industri pembinaan perlu terus meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja berintensif tinggi dan memperkukuh daya saing. AI bukanlah penyelesaian kepada semua cabaran ini. Namun, teknologi tersebut berpotensi menjadi salah satu pemangkin penting kepada perubahan yang diperlukan.
Masa Depan Pembinaan Masih Memerlukan Manusia
Perbincangan mengenai AI dalam industri pembinaan perlu beralih daripada persoalan sama ada teknologi ini akan menggantikan manusia kepada bagaimana manusia dapat menggunakan teknologi ini untuk bekerja dengan lebih baik. Industri pembinaan tidak hanya memerlukan teknologi yang canggih, tetapi juga jurutera yang kompeten, pekerja yang berkemahiran, pengurusan yang cekap dan keputusan yang bertanggungjawab.
AI boleh membantu mempercepat proses, menyusun maklumat dan meningkatkan kecekapan. Namun, pengalaman, kreativiti, pertimbangan profesional dan tanggungjawab manusia tetap menjadi asas kepada kejayaan sesuatu projek pembinaan. Bagi Malaysia, cabaran sebenar bukan sekadar menggunakan AI, tetapi memastikan teknologi ini dimanfaatkan bagi memperkukuh keupayaan industri dan membangunkan tenaga kerja tempatan yang lebih kompetitif.
Akhirnya, kejayaan AI dalam industri pembinaan tidak sepatutnya diukur berdasarkan berapa ramai pekerja yang mampu digantikannya, tetapi berdasarkan berapa banyak nilai tambah yang dapat dihasilkan melalui gabungan kepakaran manusia dan keupayaan teknologi. Masa depan industri pembinaan bukanlah tentang AI menggantikan jurutera, tetapi tentang jurutera yang mampu memanfaatkan AI untuk membina dengan lebih cekap, lebih selamat dan lebih bijaksana.
Para Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang

Ts. Nur Faezah Yahya, Pensyarah Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.