Pengurusan kecekapan tenaga ke arah kampus lestari

POLITEKNIK SULTAN IDRIS SHAH
25 November 2026
RENCANA

Konsep kampus lestari semakin mendapat perhatian global, dengan fokus pada pengurusan tenaga cekap, pengurangan jejak karbon dan pendidikan kesedaran alam sekitar. Pengurusan kecekapan tenaga bukan sekadar pasang lampu diod pemancar cahaya (LED) atau guna kipas daripada penghawa dingin semata-mata, tetapi lebih kepada cara mengurus dan menggunakan tenaga dengan lebih bijak.

Salah satu cara terbaik untuk meningkatkan kecekapan tenaga di kampus ialah dengan menggunakan teknologi hijau. Contohnya, sistem lampu pintar yang akan padam sendiri bila tiada orang, atau pemasangan panel solar di bangunan kampus. Ini bukan sahaja boleh menjimatkan elektrik, malah mengurangkan jejak karbon kampus. Selain tu, kampus juga boleh menggunakan sistem pengudaraan semula jadi supaya kurang bergantung pada penghawa dingin. Penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT) untuk mengautomasikan penggunaan tenaga amat sesuai diaplikasikan. Contohnya, bilik kuliah boleh dipasang dengan sensor yang boleh menyesuaikan penggunaan elektrik mengikut kehadiran pelajar. Ini membantu mengelakkan pembaziran tenaga elektrik di kawasan yang tidak digunakan.

Kempen kesedaran boleh dijalankan secara lebih meluas. Institusi boleh boleh menjalankan program-program kesedaran seperti ‘Hari Tanpa Plastik’, ‘Minggu Kampus Hijau’, atau bengkel kecekapan tenaga. Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi ilmu kepada warga kampus, tetapi juga memupuk semangat tanggungjawab dalam diri mereka. Selain itu, pelaksanaan sistem insentif seperti pemberian mata ganjaran kepada kolej kediaman yang berjaya mengurangkan penggunaan tenaga juga boleh menjadi langkah yang berkesan untuk menggalakkan amalan kecekapan tenaga.

Pelajar juga boleh terlibat secara aktif dengan menyertai kelab atau persatuan yang berfokuskan kelestarian. Kelab-kelab ini boleh menjadi penggerak utama dalam menganjurkan aktiviti berkaitan kecekapan tenaga seperti gotong-royong untuk membaiki peralatan elektrik yang rosak atau kitar semula bahan buangan elektronik.

Institusi pendidikan juga boleh wujudkan dasar yang menggalakkan amalan kecekapan tenaga. Contohnya, penyediaan polisi penggunaan tenaga yang lebih mesra alam, menggalakkan warganya berbasikal dan menggunakan pengangkutan awam dalam kampus, atau mengadakan pertandingan kampus hijau antara kolej kediaman. Apabila terdapat inisiatif seperti ini, secara tidak langsung ia akan mendorong lebih ramai warga kampus untuk mengambil bahagian dalam usaha ke arah kampus lestari.

Dasar kampus hijau juga boleh diperluaskan kepada sistem pemakanan dalam kampus. Contohnya, menggalakkan penggunaan bahan makanan tempatan yang lebih mesra alam, mengurangkan pembungkusan menggunakan plastik, dan menyediakan lebih banyak pilihan makanan berasaskan tumbuhan untuk mengurangkan kesan karbon daripada industri penternakan.

Pihak institusi pendidikan boleh bekerjasama dengan pihak luar seperti syarikat tenaga hijau atau badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kelestarian alam. Melalui kerjasama ini, kampus boleh mendapat akses kepada teknologi hijau terkini, serta peluang untuk membangunkan projek perintis yang boleh dijadikan contoh kepada institusi pendidikan lain.

Satu lagi aspek penting dalam pengurusan tenaga ialah sistem pengangkutan dalam kampus. Kampus boleh memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik atau basikal sewa untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang menyumbang kepada pencemaran udara. Selain itu, laluan pejalan kaki yang selesa dan teduh juga boleh dibina untuk menggalakkan warga kampus berjalan kaki ke kelas atau tempat kerja. Institusi pendidikan juga boleh menyediakan insentif kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam, seperti diskaun khas atau subsidi tambang. Dengan cara ini, lebih ramai akan terdorong untuk meninggalkan kenderaan persendirian dan memilih pengangkutan yang lebih lestari.

Selain daripada penggunaan tenaga yang cekap, pengurusan sisa juga memainkan peranan penting dalam mencapai kampus lestari. Pihak institusi pendidikan boleh menyediakan tong kitar semula di setiap sudut kampus serta menggalakkan amalan pengurangan sisa. Contohnya, penggunaan botol air boleh isi semula dan mengurangkan penggunaan kertas dengan digitalisasi dokumen. Pelajar boleh turut serta dalam program seperti penanaman semula pokok, pengkomposan sisa makanan di kolej kediaman, dan pertandingan inovasi hijau yang menekankan cara mengurangkan pembaziran tenaga dan bahan buangan.

Pengurusan kecekapan tenaga ini bukanlah sesuatu yang mustahil jika semua pihak memainkan peranan. Dengan gabungan teknologi, kesedaran sivik, dasar yang menyokong, pengangkutan mesra alam serta amalan kitar semula yang berkesan, kampus lestari bukan lagi impian, tapi satu realiti yang boleh kita capai bersama. Jom kita mula dengan langkah kecil, tutup suis bila tidak digunakan.

Penulis:

Siti Arinah Sanat, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor.

Intan Maisarah Osman, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Governan & Kecemerlangan, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, W.P. Putrajaya.

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti