Pengajaran Global dalam Menangani Pemanduan Terganggu

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
20 November 2026
RENCANA

Keselamatan jalan raya merupakan antara cabaran utama dalam pengurusan sistem pengangkutan moden. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan melalui kempen kesedaran, penguatkuasaan undang-undang dan penambahbaikan infrastruktur namum kemalangan jalan raya masih berlaku dan terus meragut nyawa. Salah satu faktor yang semakin membimbangkan ialah pemanduan terganggu (distracted driving), khususnya akibat penggunaan telefon pintar, sistem navigasi, peranti elektronik dan aktiviti lain yang mengalihkan perhatian pemandu daripada jalan raya.

Perkembangan teknologi digital sememangnya membawa banyak kemudahan kepada pengguna jalan raya. Namun, teknologi yang sama turut mewujudkan risiko baharu apabila pemandu terlalu bergantung kepada peranti elektronik ketika memandu. Gangguan perhatian ini bukan sahaja melibatkan pandangan mata, tetapi juga tumpuan mental dan keupayaan seseorang untuk bertindak balas terhadap perubahan keadaan trafik.

Menurut laporan International Bridge, Tunnel and Turnpike Association (IBTTA) yang diterbitkan sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya Global 2026, pemanduan terganggu menyumbang kepada lebih 3,300 kematian setiap tahun di Amerika Syarikat, dengan kerugian ekonomi yang dianggarkan berjumlah RM 506.17 bilion (USD123.9 bilion). Laporan tersebut mendapati bahawa perhatian pemandu boleh terganggu hampir 45 peratus daripada keseluruhan masa pemanduan. Malah, apabila seseorang pemandu mengalihkan pandangan daripada jalan selama 4.6 saat pada kelajuan lebuh raya, kenderaannya boleh bergerak sejauh sebuah padang bola sepak tanpa pemerhatian yang sewajarnya.

Persoalannya, adakah kempen kesedaran dan tindakan saman sahaja telah mencukupi untuk mengatasi masalah ini? Berdasarkan enam kajian kes antarabangsa yang diketengahkan oleh IBTTA, jawapannya jelas menunjukkan bahawa keselamatan jalan raya memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh. Gabungan teknologi pintar, reka bentuk kejuruteraan, penguatkuasaan berasaskan data, pemahaman tingkah laku manusia dan pengurusan insiden yang cekap merupakan antara strategi yang terbukti berpotensi mengurangkan risiko kemalangan.

Teknologi Pintar sebagai Barisan Pertahanan Pertama

Kajian kes pertama meneliti bagaimana teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligent (AI) dan sistem komunikasi digital dapat digunakan untuk menangani pemanduan terganggu. Pengalaman Transurban di Amerika Utara dan Australia menunjukkan bahawa kamera pintar berkeupayaan AI boleh mengenal pasti penggunaan telefon bimbit ketika memandu secara automatik, termasuk ketika kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi.

Di New South Wales, Australia, pelaksanaan penguatkuasaan menggunakan kamera automatik dilaporkan berjaya mengurangkan penggunaan telefon bimbit secara haram ketika memandu iaitu melebihi 80 peratus. Keputusan ini menunjukkan bahawa kebarangkalian kesalahan dapat dikesan secara konsisten berpotensi mempengaruhi tingkah laku pemandu dengan lebih berkesan berbanding penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berkala.

Selain kamera pintar, penggunaan teknologi telematik telefon pintar turut membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti corak tingkah laku pemandu. Melalui analisis data pergerakan, penggunaan telefon dan perubahan kelajuan, lokasi yang mempunyai risiko pemanduan terganggu dapat dikenal pasti sebelum berlakunya kemalangan serius.

Di Ohio, Amerika Syarikat, penggunaan data telematik menunjukkan penurunan sebanyak 8.6 peratus dalam penggunaan telefon oleh pemandu selepas setahun pelaksanaan undang-undang baharu. Perubahan tingkah laku ini dianggarkan membantu mencegah 3,600 kemalangan, mengelakkan lebih 1,600 kecederaan dan menjimatkan kerugian ekonomi sekitar RM588.28 juta (USD144 juta).

Satu lagi teknologi yang diketengahkan ialah komunikasi antara kenderaan dengan persekitaran atau Vehicle-to-Everything (V2X). Melalui sistem ini, amaran mengenai kemalangan, kesesakan atau kenderaan kecemasan boleh dihantar terus kepada pemandu melalui aplikasi navigasi dan paparan dalam kenderaan. Kajian oleh Purdue University bersama Indiana Department of Transportation mendapati bahawa penggunaan amaran digital kepada pemandu yang menghampiri kawasan kesesakan berjaya mengurangkan kejadian membrek secara mengejut kira-kira 80 peratus.

Teknologi pemantauan pemandu dalam kenderaan juga semakin penting. Sistem ini menggunakan kamera dan AI untuk mengesan pergerakan mata serta tanda-tanda kehilangan tumpuan. Apabila pemandu didapati tidak memberikan perhatian kepada jalan raya, amaran bunyi atau getaran tempat duduk boleh diaktifkan.

Kesemua teknologi ini memperlihatkan perubahan pendekatan daripada menunggu kemalangan berlaku kepada usaha mengenal pasti dan mengurangkan risiko lebih awal. Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu disertai dasar perlindungan data dan privasi yang jelas supaya penggunaan teknologi mendapat kepercayaan masyarakat.

Reka Bentuk Jalan Raya yang Mampu Mengurangkan Kesilapan Pemandu

Kajian kes kedua membuktikan bahawa aspek kejuruteraan jalan raya masih memainkan peranan penting walaupun teknologi digital semakin berkembang. Di North Tarrant Express, Texas, kawasan pemisahan laluan masuk dan keluar lebuh raya dikenal pasti sebagai lokasi yang mempunyai risiko pelanggaran tinggi.

Kawasan ini memerlukan pemandu membuat keputusan dengan cepat, terutamanya ketika memilih laluan keluar atau memasuki lebuh raya. Pemandu yang terganggu atau tidak biasa dengan susun atur jalan berkemungkinan melakukan pertukaran lorong secara mengejut, lalu melanggar peranti penyerap hentaman yang dipasang pada bahagian pemisahan jalan.

Sepanjang tempoh 2017 hingga 2022, sebanyak 186 pelanggaran peranti penyerap hentaman direkodkan di 11 lokasi berisiko tinggi. Bagi mengatasi masalah ini, pihak pengendali melaksanakan beberapa penambahbaikan kejuruteraan, termasuk melebarkan garisan jalan, meningkatkan kejelasan penandaan permukaan jalan serta memasang penanda berpantul cahaya.

Penanda jalan timbul turut digunakan untuk menghasilkan bunyi dan getaran apabila dilanggar tayar. Pendekatan ini memberikan amaran melalui deria pendengaran dan sentuhan, sekali gus membantu menarik perhatian semula pemandu yang mungkin tidak menyedari perubahan geometri jalan.

Hasil pelaksanaan tersebut amat memberangsangkan. Di mana, jumlah pelanggaran yang berlaku menurun daripada 186 kepada hanya 24, iaitu pengurangan sebanyak 87 peratus bagi tempoh perbandingan yang dilaporkan. Di salah satu lokasi berisiko tinggi, jumlah pelanggaran menurun daripada 50 kepada satu kejadian, manakala sebuah lagi lokasi berjaya mencatatkan sifar pelanggaran selepas penambahbaikan dilaksanakan.

Pengalaman ini membuktikan bahawa langkah kejuruteraan yang relatif mudah, seperti garisan jalan yang jelas, bahan pemantul cahaya dan papan tanda yang strategik, mampu memberikan impak keselamatan yang besar. Lebih penting, reka bentuk jalan raya perlu mengambil kira hakikat bahawa pemandu mungkin melakukan kesilapan, khususnya ketika menghadapi keadaan trafik yang kompleks.

Keselamatan Pekerja di Kawasan Pembinaan Jalan Raya

Kajian kes ketiga memberikan perhatian kepada kawasan kerja pembinaan jalan raya, yang merupakan antara persekitaran paling berisiko kepada pengguna dan pekerja. Kawasan pembinaan lazimnya melibatkan perubahan lorong, penyempitan jalan, pergerakan jentera berat dan susunan trafik yang berbeza daripada keadaan biasa.

Penggunaan kon keselamatan dan papan tanda sementara sering menjadi kaedah utama pengurusan trafik. Namun, peralatan tersebut hanya memberikan panduan visual dan tidak mampu menghalang kenderaan yang hilang kawalan daripada memasuki kawasan kerja.

Pengalaman projek Warringah Freeway di Australia, pemulihan terowong di Itali dan lebuh raya Joban di Jepun memperlihatkan keberkesanan penggunaan penghadang konkrit boleh alih (moveable barrier system). Sistem ini menyediakan pemisahan fizikal antara kawasan kerja dengan trafik aktif, di samping membolehkan bilangan dan kedudukan lorong diubah mengikut keperluan.

Di Itali, penggunaan sistem penghadang boleh alih berjaya mengurangkan tempoh pendedahan pekerja kepada trafik sebanyak 63 peratus. Di Jepun pula, eksperimen menunjukkan pengurangan sebanyak 50 peratus dalam bilangan kenderaan yang membrek ketika penutupan lorong serta pengurangan 15 peratus dalam tindakan mengelak secara mengejut.

Sementara itu, projek Warringah Freeway di Sydney, yang mengendalikan sekitar 250,000 kenderaan sehari, mencatat peningkatan produktiviti pembinaan sebanyak 60 peratus melalui penggunaan sistem tersebut. Pengurusan lorong yang lebih fleksibel membolehkan tempoh kerja selamat dipanjangkan, sekali gus mengurangkan gangguan trafik dan mempercepatkan pelaksanaan projek.

Pengajaran utama daripada kajian ini ialah keselamatan kawasan kerja tidak seharusnya bergantung kepada amaran visual semata-mata. Oleh itu, pemisahan fizikal, susunan lorong yang mudah difahami dan penggunaan teknologi automatik perlu diberikan keutamaan, khususnya bagi projek di lebuh raya berkelajuan tinggi.

Penguatkuasaan Berasaskan Data dan Bukti

Kajian kes keempat mengetengahkan kepentingan penguatkuasaan yang disokong oleh data trafik dan analisis risiko. Pennsylvania Turnpike Commission di Amerika Syarikat memperkenalkan program kamera keselamatan kelajuan di kawasan kerja yang menggabungkan penguatkuasaan automatik dengan penggunaan data operasi lebuh raya.

Berbeza daripada penguatkuasaan konvensional, program ini menggunakan pendekatan berperingkat. Pemandu yang melakukan kesalahan pertama diberikan notis amaran, manakala kesalahan berikutnya dikenakan penalti kewangan. Pendekatan ini bertujuan untuk mengubah tingkah laku, bukannya menghukum semata-mata.

Sebelum pelaksanaan program, sekitar 1,800 kemalangan setahun direkodkan di kawasan kerja di Pennsylvania sepanjang tempoh 2017 hingga 2019. Selepas program diperkenalkan pada 2020, jumlah kemalangan menurun kepada sekitar 1,250 setahun mulai 2022, iaitu pengurangan kira-kira 30 peratus berbanding tempoh sebelumnya. Walau bagaimanapun, perubahan jumlah trafik dan faktor lain perlu turut dipertimbangkan dalam mentafsir pencapaian tersebut.

Sepanjang tempoh Mac 2020 hingga akhir 2025, program ini melaksanakan 17,667 operasi penguatkuasaan dan mengeluarkan lebih dua juta notis kesalahan. Data tahun 2025 turut menunjukkan bahawa kadar kenderaan yang melebihi had laju di kawasan penguatkuasaan menurun kepada 15.8 peratus, manakala hanya dua peratus melebihi had laju sebanyak 11 batu sejam atau lebih.

Kejayaan program ini menunjukkan bahawa penguatkuasaan yang konsisten, telus dan disokong oleh analisis data mampu menghasilkan perubahan yang boleh diukur. Maklumat trafik yang dikumpulkan secara berterusan boleh digunakan untuk mengenal pasti lokasi berisiko, menentukan masa penguatkuasaan yang sesuai serta menilai keberkesanan sesuatu intervensi.

Bagi pengendali lebuh raya, data bukan lagi sekadar rekod operasi atau kutipan tol. Sebaliknya, data merupakan aset penting untuk membangunkan sistem pengurusan keselamatan yang lebih proaktif dan berasaskan bukti.

Memahami Psikologi dan Tingkah Laku Pemandu

Kajian kes kelima membincangkan aspek yang sering terlepas pandang dalam pengurusan keselamatan jalan raya, iaitu psikologi manusia. Hakikatnya, mengetahui sesuatu perbuatan itu berbahaya tidak semestinya menghalang seseorang daripada melakukannya.

Menurut kajian yang dirujuk dalam laporan IBTTA, lebih 90 peratus pemandu menganggap penggunaan telefon untuk menghantar mesej, membaca e-mel atau melayari media sosial sebagai sangat berbahaya. Namun, sehingga 37 peratus masih mengakui melakukan aktiviti tersebut semasa memandu.

Percanggahan antara pengetahuan dan tindakan ini menunjukkan bahawa kempen kesedaran semata-mata tidak mencukupi. Malah, penguatkuasaan yang terlalu bergantung kepada hukuman boleh menghasilkan kesan yang tidak dijangka. Sesetengah pemandu mungkin menyembunyikan telefon di bawah paras tingkap untuk mengelakkan dikesan dan menyebabkan pandangan mereka teralih lebih jauh daripada jalan raya.

Bagi menangani masalah tersebut, program Re:act memperkenalkan kempen ‘Pass the Phone’ yang menggalakkan pemandu menyerahkan telefon kepada penumpang sebelum memulakan perjalanan. Pendekatan ini berasaskan prinsip psikologi bahawa perubahan tingkah laku lebih mudah dicapai apabila pilihan yang selamat dijadikan kebiasaan.

Dengan menyerahkan telefon lebih awal, pemandu dapat mengelakkan gangguan dan godaan untuk memeriksa mesej atau notifikasi. Penumpang juga perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan perjalanan selamat. Kempen ini turut menggunakan papan iklan digital untuk mengingatkan pemandu tentang tindakan mudah tersebut.

Bagi pemandu yang bersendirian, prinsip yang sama boleh digunakan dengan meletakkan telefon di luar jangkauan atau mengaktifkan fungsi yang menyekat notifikasi semasa memandu.

Walaupun laporan tersebut tidak menyediakan bukti kuantitatif bahawa kempen ini telah mengurangkan kadar kemalangan, namun pendekatannya memberikan pengajaran penting. Perubahan tingkah laku yang berkekalan memerlukan pemahaman tentang tabiat manusia, pengaruh sosial dan faktor yang mendorong seseorang membuat keputusan ketika memandu.

Pengurusan Insiden yang Pantas Mampu Menyelamatkan Nyawa

Kajian kes keenam memberi tumpuan kepada pengurusan insiden trafik, khususnya dalam persekitaran terowong dan jambatan yang mempunyai ruang terhad. Dalam keadaan sedemikian, kemalangan atau kerosakan kenderaan boleh menyebabkan kesesakan dengan cepat dan meningkatkan risiko kemalangan susulan.

Pengalaman Elizabeth River Crossings di Virginia menunjukkan kepentingan sistem pengurusan insiden yang menggabungkan pemantauan trafik, rondaan keselamatan, komunikasi dengan pasukan kecemasan dan penyelarasan perkhidmatan tunda.

Apabila kemalangan berlaku, keutamaan bukan sekadar membantu mangsa, tetapi juga memastikan lokasi kejadian dikendalikan dengan pantas supaya tidak mewujudkan bahaya tambahan kepada pengguna jalan raya yang lain. Kenderaan yang berhenti secara mengejut, barisan trafik yang semakin panjang dan tindakan menukar lorong boleh mencetuskan kemalangan susulan, khususnya apabila pemandu tidak memberikan perhatian sepenuhnya.

Pada tahun 2025, Elizabeth River Crossings merekodkan purata masa ketibaan perkhidmatan tunda sekitar 2.7 minit. Bagi kemalangan yang melibatkan penutupan lorong tanpa penglibatan pasukan penyelamat pertama, purata masa pelepasan lokasi ialah sekitar 14 minit.

Prestasi ini menunjukkan bagaimana penyelarasan operasi dan penempatan sumber yang strategik dapat mengurangkan tempoh gangguan trafik. Lebih penting, pengurangan masa pengendalian insiden turut mengehadkan tempoh pendedahan petugas kecemasan dan pengguna jalan raya kepada keadaan berbahaya.

Oleh itu, keberkesanan pengurusan keselamatan jalan raya tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kemalangan semata-mata. Masa tindak balas, tempoh penutupan lorong dan keupayaan mengelakkan kemalangan susulan juga merupakan petunjuk prestasi yang penting.

Pengajaran untuk Keselamatan Jalan Raya di Malaysia

Secara keseluruhannya, enam kajian kes yang diketengahkan oleh IBTTA memperlihatkan bahawa keselamatan jalan raya memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh daripada hanya menyalahkan kecuaian pemandu. Setiap kajian memberikan penyelesaian berbeza, tetapi semuanya berasaskan prinsip yang sama, iaitu kesilapan manusia tidak sepatutnya membawa kepada kematian atau kecederaan serius.

Dalam konteks Malaysia, pengalaman ini amat relevan, khususnya bagi pengurusan lebuh raya bertol, kawasan pembinaan jalan, persimpangan kompleks dan lokasi yang sering mengalami kemalangan. Pengendali lebuh raya boleh mempertimbangkan penggunaan kamera pintar untuk mengenal pasti tingkah laku berisiko, di samping memanfaatkan data trafik bagi menentukan lokasi yang memerlukan intervensi segera.

Pada masa yang sama, penambahbaikan fizikal seperti garisan jalan berpantul cahaya, penanda jalan timbul dan papan tanda yang lebih jelas tidak harus dipandang ringan. Kajian di Texas membuktikan bahawa penyelesaian kejuruteraan yang relatif mudah boleh memberikan manfaat keselamatan yang besar apabila dilaksanakan berdasarkan analisis lokasi berisiko.

Bagi kawasan kerja pembinaan pula, keutamaan perlu diberikan kepada perlindungan fizikal pekerja dan penyusunan trafik yang mudah difahami. Penggunaan penghadang keselamatan yang sesuai, pengurusan lorong yang fleksibel dan pengurangan tempoh pendedahan pekerja kepada trafik aktif wajar menjadi sebahagian daripada perancangan keselamatan projek.

Selain itu, kempen keselamatan jalan raya perlu bergerak daripada pendekatan yang hanya menekankan bahaya dan hukuman kepada pembentukan tabiat pemanduan yang selamat. Mesej yang ringkas, praktikal dan mudah diamalkan berpotensi memberikan kesan yang lebih berkekalan berbanding peringatan yang hanya bersifat sementara.

Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi dan pendekatan antarabangsa ini perlu disesuaikan dengan keadaan tempatan, termasuk jumlah trafik, geometri jalan, keupayaan kewangan, perundangan serta tingkah laku pengguna jalan raya di Malaysia. Keberkesanan setiap langkah juga perlu dinilai melalui data sebelum dan selepas pelaksanaan.

Kesimpulan

Enam kajian kes antarabangsa ini membuktikan bahawa usaha meningkatkan keselamatan jalan raya tidak boleh bergantung kepada satu penyelesaian sahaja. Teknologi AI mampu mengesan tingkah laku berisiko, reka bentuk kejuruteraan yang boleh mengurangkan akibat kesilapan pemandu, penghadang fizikal melindungi pekerja, penguatkuasaan berasaskan data mengubah tingkah laku, pendekatan psikologi membentuk tabiat selamat, manakala pengurusan insiden yang cekap mengurangkan risiko kemalangan susulan. Kesemua pendekatan ini mencerminkan prinsip Safe System, iaitu keselamatan merupakan tanggungjawab bersama antara pengguna, pengendali jalan raya, jurutera, penguat kuasa dan pembuat dasar.

Pengajaran paling penting ialah manusia tidak akan terlepas sepenuhnya daripada melakukan kesilapan. Justeru, sistem jalan raya perlu mempunyai beberapa lapisan perlindungan supaya kesilapan kecil tidak bertukar menjadi tragedi besar. Keselamatan jalan raya yang sebenar bukan sekadar memastikan pemandu tidak melakukan kesilapan, tetapi memastikan sistem jalan raya mampu melindungi nyawa apabila kesilapan itu berlaku.

Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang

Ts. Nur Faezah Yahya, Pensyarah Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti