PUO dan MPM berjaya bersihkan 116 kg sampah di Pantai Teluk Senangin

POLITEKNIK UNGKU OMAR
02 October 2023
Aktiviti Pelajar, Komuniti

 

27 September 2023, Lumut – Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Politeknik Ungku Omar (PUO) telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3, Unit Landskap dan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial Majlis Perbandaran Manjung untuk mengadakan Program Khidmat Masyarakat pembersihan pantai dan menanam pokok untuk kelestarian alam sekitar di Pantai Teluk Senangin, dekat sini.

Program pembersihan pantai yang berlangsung selama 3 jam tersebut di sepanjang jajaran pesisir pantai sepanjang 9km telah berjaya mengumpul sebanyak sekurang-kurangnya 116 kg sampah dari bahan yang boleh dikitar semula dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, bekas polistrin, kaca, kertas, tin minuman malahan lampin pakai buang serta tikar plastik berkelah yang ditinggalkan turut ditemui.

Program CSR ini dimulakan dengan taklimat oleh Dr. Nadia A Hadi, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Pulau Pangkor dan serta Encik Firdaus, Penolong Pegawai Perubatan yang sudi berkongsi maklumat berguna berkaitan cara menangani sengatan obor-obor. 

Taklimat kesedaran yang disampaikan memberi maklumat tentang bahaya  obor-obor dan cara menanganinya sekiranya terkena sengatan ketika mandi di laut. Antara tips yang dikongsikan adalah sekiranya manusia terkena sengatan obor-obor, cuka boleh dicurahkan pada tempat  terkena sengatan dalam masa sekurang-kurangnya 30 saat untuk meneutralkan kadar toksin sengatan dan seterusnya mengurangkan risiko untuk toksin terus mengalir di dalam tubuh mangsa dan terus mendapatkan rawatan di klinik yang berhampiran. Menurut Dr. Nadia, toksin yang mengalir ke dalam tubuh manusia boleh membawa kepada pelbagai kesan termasuk menyebabkan kematian.
 
Aktiviti seterusnya yang dijalankan adalah gotong-royong menanam pokok di persisiran pantai. Pokok-pokok tersebut telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM). Sebanyak 20 anak pokok telah ditanam iaitu 10 anak pokok Beruas dan 10 anak pokok Pelindung ditanam di persisir pantai Teluk Senangin.
 
Seramai 48 orang pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Politeknik Ungku Omar (PUO) telah mengikuti program khidmat masyarakat ini. 

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti