4 Oktober 2022, Bangi – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah menganjurkan Mesyuarat Majlis Penasihat Industri JPPKK bagi tahun 2022 bertemakan ‘Memperkasakan TVET Dipacu Industri’ di Bangi Avenue Convention Center (BACC) . Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Sufri bin Hj Mohd Zin, Immediate Past President Master Builders Association Malaysia (MBAM) dan Pengarah Urusan TRC Synergy Berhad. Seramai 16 wakil industri turut hadir pada mesyuarat ini.
Antara agenda yang dibincangkan ketika mesyuarat ini berlangsung adalah mengenai tambah baik kurikulum, jaringan kolaborasi strategik, kebolehpasaran graduan dan peningkatan kemahiran tenaga pengajar. Melalui mesyuarat ini, Majlis Penasihat Industri JPPKK akan memberi tumpuan kepada penjajaran semula pasaran buruh serta pendidikan TVET untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan serta pembangunan bakat tersedia yang akan memenuhi keperluan masa hadapan.
Pada mesyuarat yang sama turut diadakan pembentangan topik “JPPKK: Peneraju TVET Dipacu Industri” oleh Ts. Zainab binti Ahmad, Ketua Pengarah JPPKK serta topik “Kolaborasi Dan Cadangan Bagi JPPKK Bersama TMOne” oleh Encik Fazli Haslam bin Zainudin, Penolong Pengurus Besar, Pengarah Akaun IPTA, TM ONE.
JPPKK merupakan Institusi Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) pertama di Malaysia yang mempunyai Majlis Penasihat Industri. Majlis ini ditubuhkan pada April 2008 bertujuan untuk mendapatkan cadangan dan maklum balas pihak industri terhadap usaha-usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti melalui kerjasama dan perkongsian pintar bersama industri.