2 November 2022, Batu Pahat : Penduduk di sekitar kawasan Parit Sulong bakal menerima sebuah Kolej Komuniti yang baharu dan menjadi pusat kegiatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan Kolej Komuniti Parit Sulong ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.
Majlis itu telah berlangsung di Jalan Simpang Lima, Parit Sulong dekat sini hari ini. Pembinaan kolej komuniti ini bakal menjadi pemangkin terhadap peningkatan kemahiran komuniti setempat khususnya golongan belia bagi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
Pembinaan kolej komuniti ini di atas tanah seluas 9.822 ekar tersebut bakal menawarkan dua pengajian sepenuh masa iaitu Sijil Perkhidmatan Logistik dan Sijil Pengoperasian Perniagaan. Selain itu, ia turut menawarkan Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang terdiri daripada pelbagai bidang pengajian yang menarik.
Semenjak Januari 2021, Kolej Komuniti Parit Sulong telah pun beroperasi di kampus satelitnya di Pusat Perindustrian Sri Sulong dengan menawarkan pengajian seperti Sijil Perkhidmatan Logistik dan Sijil Pengoperasian Perniagaan serta program PSH seperti Komputer dan Teknologi Maklumat; Katering dan Sajian; Jahitan dan Pakaian; Perniagaan dan Keusahawanan; serta Upskilling Perkhidmatan Logistik. YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, KKPS bakal dilengkapi dengan kemudahan dewan kuliah yang boleh memuatkan sehingga 240 orang pelajar pada satu-satu masa selain kemudahan lain seperti ruang aktiviti serta padang permainan yang mesra OKU turut tersedia.
“Setiap tahun, kira-kira 800 orang peserta yang meliputi golongan belia, warga emas, ibu tunggal, OKU dan juga B40 yang disasarkan untuk mengikuti kursus-kursus PSH ini,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh berkenaan keberkesanan pelaksanaan program PSH yang terbukti telah berjaya membentuk komuniti yang lebih dinamik dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta taraf sosioekonomi meliputi belia dan golongan rentan. Turut hadir YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, KSU KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd. Zabri Yusoff, TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar, KPPT merangkap KP JPPKK, serta wakil-wakil masyarakat sekitar.