Keratan Akhbar : PSA cipta alat bantu mengajar Fardu Ain untuk kanak-kanak, OKU

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
18 January 2024
Utusan Malaysia

Utusan Malaysia, 20 Jun 2023

20 JUN 2023, PUTRAJAYA: Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berjaya menghasilkan alat bantu mengajar (ABM) Panduan Fardu Ain dan permainan Sozler Braille bagi kegunaan kanak-kanak dan pelajar kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Produk itu dibangunkan sekumpulan pensyarah dan pelajar PSA dengan kerjasama Persatuan Orang -Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1).

Pengarah PSA Dr. Norhayati Zakaria berkata, idea menghasilkan produk itu timbul selepas menyedari ABM dan permainan bagi golongan berkenaan sangat terhad khususnya berkaitan Pendidikan Islam.

Beliau berkata, produk ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui projek inovasi dan kolaborasi bersama industri untuk kegunaan komuniti disamping memartabatkan Pendidikan Islam serta tulisan jawi.

“PSA akan memperluas fungsi alat ini dan menambah baik mengikut kesesuaian pada masa akan datang.

“Semoga alat yang dihasilkan ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak, pihak sekolah serta ibu bapa,” katanya selepas majlis penyerahan produk itu kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) di sini, semalam.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) Ahmad Bustamam Mohd Ali berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan inisiatif itu sekali gus membantu pembelajaran pelajar OKU penglihatan.

“Alat ini sangat bagus dan sangat dinanti-nantikan sebab sukar untuk dapat. Jika adapun sangat mahal kerana kebanyakannya dihasilkan di luar negara.

“Bila PSA datang bersama PERTIS saya sangat terharu. Di Malaysia jarang nak jumpa produk CSR untuk OKU buta. Sebenarnya banyak lagi dalam dunia OKU yang kita perlukan,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti