Kosmo, 27 Ogos 2023
SHAH ALAM, 27 Ogos 2023 – Politeknik seluruh negara harus memperkasa institusi dengan memainkan peranan seiring transformasi digital untuk kekal berdaya saing bagi melahirkan graduan yang cekap teknologi dan serba boleh.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Muhamad Rumzi Mamat berkata, itu selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) yang menggariskan strategi untuk mentransformasi sistem pendidikan negara mencakupi teknologi automasi.
Katanya, perkembangan teknologi dan cabaran global semakin mendesak untuk terus berinovasi dan meningkatkan kemahiran ditambah landskap dunia pekerjaan pada masa kini juga telah berubah.
“Dunia pada hari ini juga sangat dinamik, semakin kompleks serta berubah dengan pantas. Pekerjaan baharu seperti automation, Internet of Things, Artificial Intelligence, Big Data Analysis dan Blockchain mula mengambil alih pasaran kerja.
“Justeru, mahasiswa perlu diterapkan dengan ilmu dan kemahiran tinggi seiring perkembangan industri di samping penguasaan dalam komunikasi, kepimpinan, keusahawanan, serta etika dan moral profesional yang tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan majis konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-24, di sini semalam.
Beliau menambah, ini sekali gus mempersiapkan graduan ke arah Revolusi Industri 5.0 atau dikenal sebagai Masyarakat 5.0 yang berintegrasi dengan teknologi bagi menyelesaikan masalah sosial yang timbul dalam kehidupan seharian manusia.
Lantaran itu, kata Muhamad Rumzi, POLYCC yang merupakan peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional negara komited bagi memastikan graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi dapat dilahirkan.
“Kerjasama yang erat antara akademia dengan pihak industri dan komuniti berupaya untuk memastikan apa yang diperlukan industri,” jelasnya.