Album gambar kenangan akhir Yuvetha

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
18 January 2024
Umum

12 Januari 2024, Kluang – Album gambar yang merakamkan momen seorang pelajar menjadi tanda kenangan akhir buat sebuah keluarga yang kehilangan anak sulung mereka akibat kemalangan jalan raya.

Album tersebut menyimpan koleksi gambar kenangan mendiang Yuvetha Selvakumar Naidu sepanjang bergelar penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).

“PSA khususnya MPP PSA telah kehilangan seorang insan yang sangat “multi-tasking” serta berbakat dalam segala bidang.

“Bagi menghargai jasa dan kenangan bersama, kami telah menyampaikan sebuah album yang mengandungi kenangan bersama Yuvetha kepada keluarga mendiang,” ujar Yang Dipertua MPP PSA Muhammad Syamil Ehsan Shahril Amri.

Sebagai tanda prihatin dan rasa kehilangan, pihak pengurusan, para pensyarah serta barisan MPP PSA menziarahi kediaman keluarga mendiang di Kluang, Johor.

Mereka turut menyampaikan sumbangan khairat pelajar, sumbangan peribadi, kalungan bunga serta sijil penghargaan kepada mendiang Yuvetha yang diterima ibunya Iswary Subramanian dan bapanya Selvakumar Naidu Rajamony.

Dalam pertemuan itu, keluarga tersebut jelas masih berduka atas kehilangan Yuvetha terutama ibunya yang beberapa kali dilihat mengalirkan air mata sewaktu menatap album gambar yang diserahkan.

Sementara itu Ketua Jabatan Perdagangan Natasya Mariz Mohamed menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan yang besar buat PSA.

“Mendiang merupakan pelajar yang berbakat dalam pelbagai bidang, proaktif dan serba boleh.”

“Selain cemerlang dalam akademik dan kepimpinan pelajar, Yuvetha juga aktif dalam aktiviti seni dan kebudayaan, pengacaraan majlis, pertandingan inovasi malah tidak kekok bersama komuniti muslim memeriahkan sambutan bulan Ramadan.”

Pada 6 Januari lalu, Yuvetha pelajar semester 4 Diploma Perniagaan Antarabangsa yang juga merupakan Exco Komunikasi dan Korporat MPP PSA terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 62.5 Jalan Batu Pahat – Mersing dan maut di tempat kejadian.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti