
Jendela Madani
Keinginan mendalami Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi cita-cita menjadi jurutera telah membakar semangat anak Orang Asli dari suku Temiar, Reeny Rani, 19, melapor diri di di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.
Beliau mendaftar sebagai pelajar baharu POLIMAS Sesi 1-2025/2026 pada 27 Julai 2025.
Renny memilih untuk mengikuti Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Plastik.
“Saya suka bidang yang mencabar dan membina sesuatu. Saya mahu jadi jurutera suatu hari nanti,” ujar anak ketiga dari lima adik-beradik kepada pasangan Rani Alang dan Fafeah Alut ini.
JAUH DI PEDALAMAN
Bekas pelajar Sekokah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar ini berasal dari Kampung Lalang Baru, Lasah, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak – sebuah perkampungan Orang Asli yang jauh di pedalaman dan hanya boleh diakses melalui jalan balak.
Beliau menceritakan perjalanan ke POLIMAS juga telah mengambil masa lebih empat jam di mana agak lama
malah penuh cabaran.
“Saya macam tidak percaya boleh belajar sampai ke POLIMAS. Saya tak pernah sampai ke Jitrapun sebelum ini, dan cara percakapan orang di sini pun berbeza,” katanya sambil tersenyum.
Renny menceritakan dorongan untuk berjaya datang daripada abangnya yang kini berkhidmat sebagai anggota polis.
IKUT JEJAK ABANG
“Saya nak ikut jejak abang kerana mendapat pekerjaan yang membanggakan selain menjadi sumberi inspirasi saya,” katanya.
Bapa Renny pula seorang peniaga kedai runcit, manakala ibunya seorang suri rumah. “Mak ayah saya sanggup buat apa saja supaya saya berjaya,” katanya.
“Mereka sanggup berkorban dan itu yang membuat saya kuat.” tambahnya.
Bantuan pengajian yang diterima daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak turut membuka jalan untuk Reeny menyambung pengajian ke peringkat tinggi.
KOMUNIKASI DAN PERBEZAAN
Antara halangan utama yang dihadapi ialah komunikasi dan perbezaan budaya.
“Saya perlu mengambil masa untuk faham percakapan dan gaya hidup orang di sini. Tapi saya perlu belajar untuk dengar, faham, dan mula bergaul perlahan-lahan,” katanya.
Namun, kata Renny kehidupan kampus di POLIMAS memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan.
“Saya tinggal sebilik berdua, selesa dan rakan-rakan semua sepengajian baik dan saling membantu,” katanya.
Dengan semangat juang yang tinggi, Reeny kini menanam harapan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan menjadi jurutera berjaya, sekali gus membuktikan bahawa anak Orang Asli juga mampu melangkah jauh dalam dunia pendidikan dan kerjaya. – JM