Anugerah Akademia POLYCC 2022 Iktiraf Profesion Pendidik Di Politeknik Dan Kolej Komuniti

UKK JPPKK
01 November 2022
BERITA

18 Oktober 2022, Shah Alam : Bersempena dengan Sambutan Hari Akademia yang disambut pada setiap 5 Oktober dan Bulan Akademia sepanjang bulan Oktober setiap tahun, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti telah menganjurkan Anugerah Akademia POLYCC 2022 yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Zainab Ahmad di Shah Alam Convention Centre (SACC), disini, hari ini.  

‘Akademia Memacu Kesejahteraan Komuniti’ yang dipilih sebagai tema pada sambutan Hari Akademia tahun ini adalah bermatlamat bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada para akademia yang terdiri daripada Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) di politeknik dan kolej komuniti yang telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik dalam pelbagai aspek. Pencapaian yang telah diperoleh ini bukan sahaja mampu mengharumkan nama politeknik, kolej komuniti atau JPPKK sahaja, malah telah memberi impak positif kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan negara.  Selain itu, pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk memberikan motivasi kepada semua PPPT di politeknik dan kolej komuniti untuk terus berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh agar prestasi pendidikan TVET dapat terus dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang.

Pelbagai kategori anugerah dipertandingkan pada hari ini. Berikut merupakan pemenang untuk semua kategori yang dipertandingkan:

Anugerah Ikon Sukarelawan
Azizi bin Mohd Zain
Kolej Komuniti Batu Pahat

Anugerah Ikon Kokurikulum
Lee Yong Yong
Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Anugerah Mentor Keusahawanan
Nor Shamila binti Abdul Karim
Kolej Komuniti Bagan Serai

Anugerah Pembelajaran Dan Pengajaran (PdP)
Azlina binti Hamdan
Politeknik Mersing

Anugerah Penyelidikan
Aspalilla binti Main
Politeknik Merlimau Melaka

Anugerah Penerbitan
Dr. Mohd Hafizil bin Mat Yasin
Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin

Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (Psh)
Rahanita binti Abdul Rahman
Kolej Komuniti Bandar Darul Aman

Anugerah Ikon Kolaborasi
Dr. Jason William Vitales
Politeknik Kota Kinabalu

Anugerah Pensyarah Harapan
Mohd Al Bukhari bin Marzuki
Politeknik Sultan Azlan Shah

Anugerah Pensyarah Cemerlang
Md Razak bin Daud
Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti hari ini turut berbesar hati memilih Dato’ Haji Imran bin Idris sebagai Tokoh Akademia 2022. Beliau tentunya tidak asing lagi di dalam sistem politeknik dan kolej komuniti kerana figura ini merupakan yang pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Dilahirkan pada 29 September 1952 di Kedah Darul Aman dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Batu Pekaka, Kuala Ketil, Kedah. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai The Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Berpegang kepada prinsip hidup ingin menjadi insan yang terbaik dan berbakti kepada orang tua, beliau telah ditawarkan biasiswa dan berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Liverpool, United Kingdom.

Sejurus menamatkan pengajian seawal usia 19 tahun, beliau telah memulakan kariernya sebagai pensyarah di Politeknik Ungku Omar (PUO) dan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran yang dimiliki beliau dalam bidang kejuruteraan dan pendidikan. Dato’ Haji Imran bin Idris telah membuat sumbangan penting kepada teknikal dan pendidikan politeknik dalam kerjayanya yang menjangkau 35 tahun. Beliau adalah antara perintis dalam penubuhan kolej komuniti untuk manfaat belia dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pendidikan politeknik di Malaysia. Beliau percaya dengan penerapan pendekatan pembelajaran “learning by doing” merupakan salah satu faktor utama keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan ini dapat memberi peluang kepada pensyarah dan pelajar untuk memperolehi dan mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan perasaan dalam satu situasi yang sebenar dan bersesuaian.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti