
Arau, 15 Mei 2025 – Program Sijil Teknologi Senibina, Kolej Komuniti Arau (KKA) telah menganjurkan Archi.Techno.Showcase : Student Work Exhibition Day pada 15 Mei 2025 bertempat di studio dan makmal komputer Program Teknologi Senibina, KKA. Pameran ini merupakan acara semester yang mempamerkan hasil kerja pelajar daripada Semester 1, 2 dan 3 bagi Sesi II 2024/2025.
Pameran ini bertujuan mengetengahkan pencapaian pelajar dalam pelbagai aspek pembelajaran senibina seperti lukisan teknikal, model reka bentuk bangunan, serta penerapan teknologi visual dalam persembahan projek. Ia turut menjadi platform bagi pelajar mempersembahkan hasil kerja mereka dalam suasana terbuka dan profesional.
Penganjuran kali ini turut mendapat suntikan ilmu dan pandangan konstruktif daripada dua panel jemputan khas iaitu Pensyarah Diploma Seni Bina dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS). Kehadiran para panel telah memberi impak positif dalam membina keyakinan dan motivasi pelajar melalui maklum balas yang membina serta cadangan penambahbaikan terhadap hasil kerja yang dipamerkan.
Menurut Pengarah Program, Puan Arina Syazwani Binti Samsudin, penganjuran Archi.Techno.Showcase yang diadakan pada setiap semester ini diharapkan dapat terus memperkukuh budaya kecemerlangan akademik dan teknikal dalam kalangan pelajar Program Teknologi Senibina, Kolej Komuniti Arau. Tambah beliau, program ini juga menjadi wadah penting dalam melatih pelajar menghadapi sesi pembentangan profesional dan menyediakan mereka ke arah kerjaya dalam industri senibina.
Program ini turut melibatkan komitmen penuh pensyarah Teknologi Senibina dalam penyelarasan dan pelaksanaan pameran serta pemantauan hasil kerja pelajar sepanjang semester. Kehadiran para pelajar, pensyarah dan panel luar membuktikan sokongan berterusan terhadap usaha memartabatkan pendidikan teknikal dan vokasional dalam bidang senibina.