Arkitek Malaysia pilih KKSB sambung pengajian anak

KOLEJ KOMUNITI SABAK BERNAM
02 August 2024
Akademik

Sabak Bernam, 30 Julai 2024– Dalam kesibukan ibu bapa dan penjaga seluruh negara menghantar anak-anak mendaftar ke institusi pengajian tinggi minggu ini, kolej komuniti turut membuat persiapan menerima kemasukan pelajar sekali gus mendokong aspirasi Dasar TVET Negara 2030.

Sepasang suami isteri yang merupakan arkitek di sektor awam tidak ketinggalan memilih kolej komuniti sebagai laluan anak mereka Muhammad Alif Iskandar, 20, menyambung pelajaran di Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), Selangor untuk menyambung pengajian dalam Diploma Teknologi Senibina.

“Saya melihat peluang anak melanjutkan pelajaran di KKSB sebagai satu peluang yang sangat baik dan melihat Teknologi BIM pada masa akan datang adalah satu peluang yang sangat cerah untuk diterokai,” jelas Intan Norshahrah, ibu kepada Muhammad Alif.

Muhammad Alif yang sebelum ini merupakan pelajar lepasan Sijil Teknologi Senibina di Kolej Komuniti Jempol telah ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama di peringkat diploma.

Perkara ini sangat dihargai beliau kerana pada pandangannya keperluan teknologi ‘Building Information Modelling’ (BIM) dalam silibus pendidikan sekarang amat diperlukan dan mendapat permintaan yang tinggi dalam industri.

KKSB merupakan institusi rintis di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang menerapkan pendidikan dan teknologi BIM di dalam silibus mereka.

“Kita sentiasa berkolaborasi dan bekerja rapat dengan pihak industri seperti Gamuda Engineering Sdn. Bhd. dan kurikulum kita sentiasa relevan dengan kehendak industri,”

“Kebolehpasaran graduan KKSB juga adalah 100 peratus,” ujar Ketua Program Diploma Teknologi Senibina KKSB Ts. Muhamad Bukhari Othman.

Tambah beliau lagi, baru-baru ini seramai 14 pelajar program berkenaan turut menerima tajaan biasiswa daripada Gamuda berjumlah RM329,000.


“Saya telah banyak kali datang ke sini (KKSB) dan saya sudah tentu tahu tentang kehebatan Kolej Komuniti Sabak Bernam,” kata Ar. Abu Zarim yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri KKSB merangkap Immediate Past Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) yang juga hadir mendaftar anak beliau dalam jurusan Sijil Teknologi Elektrik.


Perkara yang sama turut dikongsi oleh isteri beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Yani.

“Saya menghantar anak saya, Muhammad Taufiq Husni untuk mengambil jurusan Sijil Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Sabak Bernam kerana saya difahamkan TVET adalah program yang sangat bagus untuk masa depan anak saya.”

KKSB merupakan institusi pendidikan yang mengetengahkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan merupakan antara kolej komuniti terawal ditubuhkan bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Selain DAT dan Sijil Teknologi Elektrik (SKE), KKSB turut mendapat permohonan yang tinggi bagi Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan (SPK) dan Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP).

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti