BERKAT KERJA KEDAI MAKAN, GRADUAN OKU CEMERLANG

KOLEJ KOMUNITI MASJID TANAH
19 August 2024
Akademik

MERLIMAU 19 Ogos – Kegigihan seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) berkerja sebagai pelayan kedai makan untuk menampung pengajiannya di Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) membuahkan hasil apabila berjaya menerima Anugerah Pelajar Cemerlang dan menggenggam sijil pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2024, hari ini.

Muhammad Aiman Abdullah, 20 yang menetap di Simpang Empat, Masjid Tanah merupakan seorang OKU lembam.

Katanya, dia mengakui apabila mengikuti pengajian dalam Sijil Asas Landskap sejak tahun 2021 bukannya sebuah perjalanan yang mudah namun dirinya sentiasa merancang waktu untuk pembelajaran dan kerjaya sampingannya bagi memastikan setiap aktiviti dan tugasan yang diberikan oleh para pensyarah dilaksanakan mengikut waktu yang ditetapkan.

“Sepanjang menuntut di KKMT saya akan mengisi masa lapang pada hari minggu dengan mengambil upah untuk menjadi pelayan di kedai makan di Pekan Masjid Tanah.

“Saya bekerja untuk menampung perbelanjaan pengajian saya di samping ingin berdikari untuk mengurangkan beban kewangan keluarga.

“Hasil mengambil upah kerja sampingan itu dapatlah saya menggunakannya untuk pengajian dan perbelanjaan harian dengan purata lebih kurang RM720 sebulan,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, menurutnya, dirinya turut mengamalkan nilai sentiasa berfikiran positif bagi menepis pandangan masyarakat terhadap keupayaannya untuk berjaya kerana kekurangan yang dimilikinya itu.

“Dengan anugerah yang saya terima ini, saya berjaya buktikan OKU seperti saya ini juga mampu berjaya sama seperti pelajar lain di luar sana.

Berkat usaha dan doa ibu saya juga menjadi pendorong saya untuk terus memasang impian untuk berjaya meskipun saya hanya mengambil sijil asas di kolej komuniti,” tambahnya.

Aiman merupakan antara pelajar pendidikan khas yang mengikuti program Sijil Asas Landskap (SAL) di Kolej Komuniti Masjid Tanah.

Program SAL yang dibuka itu merupakan pengajian ditawarkan buat para pelajar yang mengalami masalah pembelajaran (learning disabilities) bagi memberi peluang melanjutkan pelajaran.

Aiman (kiri) bergambar kenangan bersama ibunya, Salmi Sellah (kanan) dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2024 di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti