
Malaysia Sebagai Destinasi TVET Global: Mampukah Dunia Datang Kepada Kita?
Apabila disebut destinasi pendidikan dunia, kita mungkin terbayang universiti terkenal di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, atau Jepun. Pelajar antarabangsa sanggup merentas ribuan kilometer kerana percaya bahawa pengalaman pendidikan di negara-negara tersebut mampu membuka peluang baharu. Namun, pernahkah kita membayangkan suatu hari nanti seorang pelajar dari Indonesia, Thailand, China, Afrika, atau Timur Tengah berkata, “Saya mahu ke Malaysia kerana mahu belajar TVET”?
Adakah perkara itu terlalu jauh untuk dibayangkan? Hakikatnya, mungkin tidak. Malaysia sudah mempunyai asas yang kukuh: institusi TVET yang mapan, industri pembuatan yang utuh, kepelbagaian budaya, penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dalam pendidikan tinggi, serta kedudukan yang strategik di Asia Tenggara. Malah, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 turut memberikan penekanan terhadap daya saing global pendidikan tinggi dan pengukuhan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serta penyelidikan serantau. Oleh itu, persoalan sebenar bukan lagi sama ada kita mempunyai ekosistem TVET, tetapi apakah yang perlu dilakukan supaya dunia datang kepada TVET Malaysia.
Dunia Sedang Mencari Kemahiran
Ekonomi dunia kini sedang mengalami perubahan besar. Lonjakan teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi hijau, semikonduktor, keselamatan siber, kenderaan elektrik, dan transformasi digital sedang mengubah secara drastik jenis pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan. UNESCO-UNEVOC menegaskan bahawa TVET memainkan peranan penting dalam menghubungkan pendidikan dengan dunia pekerjaan, di samping membantu golongan muda dan dewasa membangunkan kemahiran untuk kerjaya, keusahawanan, dan kehidupan.
Melalui rangkaian UNEVOC, institusi TVET di pelbagai negara dihubungkan bagi tujuan pertukaran kepakaran dan pembangunan penyelesaian baharu. Ini bermaksud, persaingan pendidikan masa hadapan bukan lagi sekadar persoalan siapa yang mempunyai universiti terbaik, sebaliknya siapa yang mampu menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang didahagakan oleh dunia. Di titik inilah, Malaysia mempunyai peluang yang amat luas.
Malaysia Tidak Bermula daripada Kosong
Malaysia mempunyai ekosistem TVET yang komprehensif, melibatkan 12 kementerian, institusi pendidikan awam dan swasta, agensi kerajaan, badan profesional, serta pemain industri, seperti yang digariskan dalam RPTM 2026–2035. Pelan ini turut memberi perhatian khusus kepada penjajaran program dengan keperluan industri dan piawaian global. Lebih membanggakan, TVET Malaysia sedang memacu ke arah tahap pendidikan yang lebih tinggi. RPTM mencadangkan peluasan Kerangka TVET KPT sehingga Tahap 7 dan Tahap 8 (peringkat Sarjana dan Kedoktoran) bagi menghubungkan penyelidikan termaju, kompetensi khusus, dan keperluan industri, lantas meningkatkan tahap kebolehpasaran global.
Buktinya, pada Februari 2026, KPT telah mengumumkan sasaran supaya 10 politeknik premier menawarkan program ijazah sarjana muda menjelang tahun 2027. Hala tuju ini turut membuka ruang kepada penawaran program Sarjana dan PhD dalam bidang berkemahiran tinggi seperti AI dan semikonduktor. Perkembangan ini memberi gambaran jelas bahawa politeknik masa hadapan tidak lagi sekadar menawarkan diploma, tetapi bakal berkembang menjadi pusat kecemerlangan teknologi dan kemahiran termaju.
Menawarkan Nilai Unik: Kenapa Pelajar Dunia Perlu Memilih Malaysia?
Jika seorang pelajar antarabangsa mempunyai banyak pilihan, Malaysia perlu menampilkan kelainan. Kita tidak perlu menjadi salinan Jerman, Jepun, atau Singapura. Sebaliknya, Malaysia perlu menawarkan sistem TVET yang beridentitikan Malaysia tetapi berstandard dunia.
Keunikan lokasi, ekonomi, dan budaya Malaysia boleh diangkat sebagai sebuah ‘makmal pembelajaran TVET’ yang hidup. Bayangkan seorang pelajar antarabangsa datang mempelajari teknologi pembuatan pintar sambil terlibat secara langsung dengan industri tempatan. Pelajar tenaga boleh baharu pula boleh mendalami teknologi solar, pengurusan tenaga, dan teknologi hijau dalam persekitaran iklim tropika. Sementara itu, pelajar teknologi makanan berpeluang meneroka kepakaran industri halal, manakala pelajar pembinaan mengkaji teknologi bangunan yang disesuaikan untuk iklim panas dan lembap. Inilah nilai tambah yang tidak boleh didapati di tempat lain.
Dari “Datang Belajar” kepada “Datang Mengalami”
Pelajar antarabangsa masa hadapan tidak lagi semata-mata mencari sekeping sijil; mereka mencari pengalaman. TVET Malaysia harus menawarkan sesuatu yang melangkaui sempadan bilik kuliah. Antara inisiatif yang boleh diterokai termasuklah program mobiliti tiga bulan yang menggabungkan pembelajaran di politeknik, latihan industri, dan projek komuniti, atau ASEAN TVET Summer School yang menghimpunkan pelajar serantau untuk membina projek bersama.
Kita juga boleh menganjurkan pertandingan seperti ASEAN Green Technology Challenge, di mana pelajar tidak sekadar menghadiri kuliah, tetapi datang ke Malaysia untuk menyelesaikan masalah sebenar seperti pengurusan air, krisis tenaga kampus, atau pertanian pintar. Konsep pembelajaran berasaskan pengalaman dan penyelesaian masalah ini selari dengan penekanan UNESCO-UNEVOC terhadap pertukaran pengetahuan, pembelajaran rakan sebaya, dan jaringan serantau.
Program Inovatif dan Pengantarabangsaan Kampus
Peluncuran TVET 2.0 pada tahun 2026 yang menumpukan kepada teknologi masa hadapan seperti AI, transisi tenaga, dan transformasi digital membuka seribu satu peluang baharu. Malaysia boleh membangunkan program penawaran antarabangsa jangka pendek, microcredential, atau kursus intensif (berdurasi tiga minggu hingga tiga bulan) dalam bidang seperti AI for TVET, Smart Manufacturing, Green Technology, dan Digital Entrepreneurship. Jika digabungkan dengan pendedahan industri sebenar dan pertukaran budaya, TVET kita memiliki produk pendidikan berimpak tinggi untuk ditawarkan ke pasaran global.
Namun, pembinaan sebuah kampus berstatus antarabangsa menuntut warganya untuk turut berfikiran global. Pensyarah perlu membina jaringan penyelidikan dan inovasi antarabangsa, kelas boleh dikendalikan bersama pakar luar negara secara dalam talian, dan pelajar tempatan harus digalakkan bekerja dalam pasukan pelbagai negara. Apabila ekosistem ini terbentuk, globalisasi tidak lagi sekadar bermaksud “kita pergi ke luar negara,” tetapi “dunia masuk ke dalam kampus kita.”
Kualiti Tanpa Kompromi ke Arah Visi 2035
Bagi merealisasikan impian ini, terdapat satu prasyarat mutlak: kualiti. Destinasi TVET dunia tidak terbina di atas janji promosi semata-mata. Ia menuntut kurikulum yang sentiasa relevan, fasiliti makmal yang selari dengan peredaran teknologi, hubungan nyata dengan industri, pensyarah yang peka dengan perkembangan kemahiran, serta pengiktirafan kelayakan yang jelas. RPTM sendiri sangat menekankan kepentingan jaminan kualiti, penjajaran dengan piawaian global, serta laluan pendidikan yang lebih tersusun.
Menjelang tahun 2035, bayangkan sebuah senario di bengkel PolyCC (Politeknik dan Kolej Komuniti), di mana seorang pelajar Malaysia sedang membangunkan teknologi robotik bersama rakan dari Indonesia, Jepun, Kenya, dan Uzbekistan. Mereka mungkin datang kerana kemudahan teknologi, namun mereka pulang membawa nilai yang jauh lebih berharga—kemahiran tinggi, pengalaman industri, jaringan persahabatan antarabangsa, dan memori tentang Malaysia.
Selari dengan sasaran KPT pada 2026 yang mahu melihat POLYCC berkembang sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi teknikal yang bertaraf global, visi ini bukan sesuatu yang mustahil. Bolehkah Malaysia menjadi destinasi TVET dunia? Jawapannya adalah ya. Namun, dunia tidak akan datang semata-mata kerana kita mempunyai bengkel dan program; mereka akan datang kerana kita menawarkan kualiti, keunikan, dan nilai yang tiada tolak bandingnya. Apabila tiba masanya, nama Malaysia pasti akan menjadi pilihan utama bagi sesiapa sahaja yang mencari kemahiran untuk menakluk masa hadapan.
Rujukan
UNESCO-UNEVOC. (2025). Skill Up, Stay Ahead: TVET for Employability.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2026). Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2026). RPTM 2026–2035: KPT Pacu 208 Inisiatif Game Changer Pendidikan Tinggi Negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2026). Hari TVET Negara 2026: Peluncuran TVET 2.0.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2026). Transformasi POLYCC: KPT Sasar 10 Politeknik Premier Tawar Ijazah Sarjana Muda Menjelang 2027.
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2026). Transformasi TVET KPT: POLYCC Bukan Lagi Laluan Pilihan Kedua.
UNESCO-UNEVOC. (2025–2026). Skills for Work and Life dan pembangunan jaringan TVET global.

HUSNA BINTI MAT SALLEH
Pensyarah Kanan,
Jabatan Matematik dan Sains Komputer,
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,
Bandar Darul Aman, Kedah